Beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. FOTO Fathil Asri
Beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. FOTO Fathil Asri
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon menegaskan biarpun dia dan pasangannya, Goh Liu Ying kini bergerak secara profesional tetapi mereka tetap bermain untuk mengharumkan nama Malaysia.

Ketika ramai beranggapan kedua-dua pemain itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi meredakan tekanan yang dialami sebagai pemain kebangsaan, Peng Soon menjelaskan sebaliknya apabila menegaskan bebanan yang mereka pikul tetap sama.

“Sama ada kami pemain kebangsaan atau profesional, tekanan yang kami rasa tetap sama. Kami bermain untuk mengharumkan nama Malaysia dan kami perlu berikan yang terbaik bagi menghasilkan kejayaan dalam setiap kejohanan disertai,” kata Peng Soon ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu mengesahkan tempat ke suku akhir Thailand Masters selepas menewaskan gandingan Russia, Rodion Alimov-Alina Davletova 21-18, 21-10 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 32 minit di Bangkok.

Juara bertahan itu akan membuat perhitungan dengan pasangan Indonesia, Alfian Eko Prasetya-Marsheilla Gischa Islami bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Peng Soon-Liu Ying turun esok dengan misi untuk membantu membalas dendam buat satu lagi pasangan negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wen yang tewas kepada beregu Indonesia itu 21-23, 22-20, 12-21 dalam aksi pusingan kedua.

“Kami akan berikan aksi terbaik esok. Kami tidak pernah menentang pasangan Indonesia itu sebelum ini, jadi saya jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang mencabar buat kami,” kata Peng Soon.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki muda negara, Cheam June Wei menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pemain tuan rumah, Pannawit Thongnuam.

Dia yang tewas 14-21 di set pertama bangkit menang 21-17, 21-16 pada dua set berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 7:21 PM