PASANGAN beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying menentang Pasukan Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue di Axiata Bukit Jalil. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
PASANGAN beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying menentang Pasukan Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue di Axiata Bukit Jalil. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon secara berseloroh menyatakan tiada siapa lagi akan memarahi dia dan pasangannya, Goh Liu Ying jika mereka kalah dalam perlawanan selepas bergerak secara profesional.

“Mungkin kalau kami kalah pun, saya marah dia (Liu Ying) dan dia marah saya. Tiada siapa lagi akan marah kami,” kata Peng Soon berseloroh selepas diajukan soalan mengenai tekanan beraksi buat kali pertama di laman sendiri sebagai gandingan profesional.

“Tekanan itu tetap ada biarpun kami bergerak secara profesional. Namun, kami cuba mengawalnya terutama beraksi di laman sendiri.”

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Masters Thailand, Ahad lalu mara ke pusingan kedua Masters Malaysia apabila menewaskan beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-13, 21-14 di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

“Hari ini kami anggap lebih kepada perlawanan pemanas badan khususnya bagi menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang memandangkan lawan juga tidak berapa kuat.”

Tampil sebagai pilihan ketiga kejohanan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan bertemu beregu China, Lu Kai-Chen Lu bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Di atas kertas, peluang Peng Soon-Liu Ying untuk menang ke atas pasangan China yang baru digandingkan itu besar tetapi mereka enggan terlalu yakin dan menganggap peluang 50-50.

“Memang mereka pasangan baharu tapi Lu Kai seorang pemain berpengalaman dan gandingannya biarpun masih muda tapi bermain baik.

“Jadi, kami perlu berhati-hati. Kami akan buat analisis mengenai permainan mereka dan cuba buat persiapan terbaik untuk menghadapi perlawanan esok.

“Selepas muncul juara di Thailand, kami harap boleh mencatat keputusan yang baik juga di sini. Kami harap boleh tampil dengan prestasi konsisten dalam setiap kejohanan,” kata Liu Ying.

Sementara itu, beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pasangan Thailand, Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong 12-21, 21-12, 21-18 sekali gus mara ke pusingan kedua.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean apabila terkandas pada pusingan pertama selepas tewas di tangan pilihan kedua dari Jepun, Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata 8-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 8:39 PM