PASANGAN beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat dan Lai Shevon Jemie bakal buat perhitungan menentang rakan senegara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. FOTO Luqman Hakim Zubir
PASANGAN beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat dan Lai Shevon Jemie bakal buat perhitungan menentang rakan senegara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. FOTO Luqman Hakim Zubir
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Istilah kawan bertukar menjadi lawan buat Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie apabila dua beregu campuran negara itu membuat perhitungan sesama sendiri pada suku akhir Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, esok.

Satu gandingan akan turun sebagai beregu profesional manakala satu lagi di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying mara ke suku akhir selepas menyingkirkan beregu China, Lu Kai-Chen Lu 17-21, 21-17, 21-15 pada pusingan kedua manakala Soon Huat-Shevon meraih kemenangan selesa 21-13, 21-19 ke atas Takuro Hoki-Wakana Nagahara dari Jepun.

Sejak meninggalkan BAM awal bulan ini, Peng Soon-Liu Ying mengakui mereka masih cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan program latihan seperti ketika bersama badan induk itu.

“Kami meninggalkan BAM baru dua minggu dan kami harus akui kami masih mengikut cara lama seperti di BAM.

“Biarpun kami masih belum ada jurulatih tetap tapi kami berterima kasih kepada Chew Choon Eng (bekas pemain kebangsaan) yang membantu kami dalam dua perlawanan sebelum ini,” kata Peng Soon ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Bagaimanapun, difahamkan Choon Eng tidak akan bersama mereka bagi aksi suku akhir esok kerana urusan peribadi.

Liu Ying percaya, dia dan Peng Soon sudah melakukan yang terbaik bagi meneruskan program latihan yang diterima ketika bersama skuad kebangsaan.

“Kami masih cuba menjalani latihan seperti yang kami lakukan di BAM, kami cuba yang terbaik. Diharapkan kami mampu memberikan persembahan yang baik esok.

“Kami sudah mengenali antara satu sama lain. Tidak kira apa jua keputusan esok, Malaysia sudah pasti mempunyai satu wakil di separuh akhir dan ini sesuatu yang positif untuk acara beregu campuran negara,” kata Liu Ying.

Kali terakhir dua pasangan itu bertemu adalah pada pusingan pertama Terbuka Indonesia tahun lalu yang dimenangi Peng Soon-Liu Ying 21-19, 21-19.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita berakhir pada pusingan kedua apabila Vivian Hoo-Yap Cheng Wen tewas di tangan pasangan Indonesia, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto 9-21, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 3:59 PM