BEKAS beregu nombor satu dunia, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong. FOTO Aswadi Alias.
BEKAS beregu nombor satu dunia, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong. FOTO Aswadi Alias.
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Selepas bertukar arah dalam karier hanya setahun selepas mendirikan rumah tangga bukanlah mudah buat Goh V Shem-Tan Wee Kiong, namun pasangan beregu negara itu tidak mahu menghampakan orang tersayang. 

Hari ini bekas beregu nombor satu dunia itu mencatat kemenangan pertama sebagai pasangan bebas apabila mengatasi wakil tuan rumah Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-13, 21-15 untuk mara ke pusingan kedua Masters Thailand di Bangkok.

Mengakui situasi boleh menjadi lebih mencabar, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu yang keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lalu tidak sabar memulakan perubahan dalam karier badminton mereka.

Ketika dihubungi, V Shem  yang berkahwin pada Disember 2017, berkata: "Keputusan meninggalkan BAM bukan mudah. Saya bersama Wee Kiong (juga berkahwin pada 2017) tidak hanya berbincang dengan isteri kami tetapi juga ibu bapa.

"Ada banyak perkara perlu dipertimbangkan seperti faktor kewangan dan perancangan untuk keluarga.

"Bagaimanapun kami tidak menyesal dengan keputusan meninggalkan BAM. Kami perlu melakukannya. Saya percaya kami tidak akan berhenti belajar dan fasa ini akan hanya membawa pengalaman baharu dalam hidup."

Semalam, rakan senegara yang juga pemenang pingat perak Olimpik, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, juga mara ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan pertama selaku pasangan profesional namun tidak seperti pasangan beregu campuran itu - V Shem-Wee Kiong masih belum mendapat penajaan.

"Kami masih belum bersama mana-mana pihak, kami masih mencari," kata V Shem yang mengucapkan terima kasih kepada Peng Soon dan seorang lagi pemain bebas, Lim Khim Wah yang menjadi jurulatih pada perlawanan pertama itu.

V Shem-Wee Kiong yang masih belum meraih gelaran sejak menang Super Siri Final Dunia 2016 di Dubai, akan berdepan ama ada pasanganJepun, Masato Takano-Yoshiki Tsukamoto/Ben Lane-Sean Vendy dari England esok untuk tempat ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 7:18 PM