Peng Soon dan Liu Ying mara ke final. FOTO NSTP.
Peng Soon dan Liu Ying mara ke final. FOTO NSTP.
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Selepas pelbagai persoalan yang timbul berhubung kerjaya mereka, dua gandingan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong membuktikan keputusan mereka tepat apabila melangkah ke final Masters Thailand, hari ini.

Dalam aksi separuh akhir, kedua-duanya yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 itu membuktikan mereka masih mampu melakukan yang terbaik biarpun sudah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), awal bulan ini.

Aksi separuh akhir beregu campuran menyaksikan Peng Soon-Liu Ying menyingkirkan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Ng Tsz Tau 21-16, 21-15 manakala V Shem-Wee Kiong hanya memerlukan 26 minit bagi menewaskan beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 21-12, 21-10 sekali gus layak ke final selepas 12 bulan.

"Saya tidak fikir ada perbezaan besar apabila bermain di bawah naungan BAM atau sebagai profesional kerana pada akhirnya kami semua mahu menang.

"Saya fikir keinginan untuk menghasilkan kemenangan berbeza kerana kami kini bergerak secara sendiri dan perlu melakukan yang terbaik untuk meneruskan kerjaya.

"Apa pun, ia adalah permulaan yang positif untuk kami musim ini. Sudah pasti sasaran awal untuk mara ke final selepas kami muncul juara tahun lalu tetapi sekarang fokus kami adalah lawan seterusnya.

"Kami mahu melakukan yang terbaik untuk memenangi gelaran," kata Peng Soon ketika dihubungi.

Peng Soon-Liu Ying akan menentang pilihan kedua dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dalam aksi final, esok.

V Shem-Wee Kiong pula yang kali terakhir meraih gelaran pada Siri Super Akhir 2016 di Dubai akan menentang pilihan kelima dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han.

Pasangan Taiwan itu mara ke final selepas menundukkan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, 17-21, 21-13, 21-11.

V Shem-Wee Kiong yang masih belum menandatangani kontrak dengan mana-mana penaja sejak meninggalkan BAM berharap dapat menarik minat beberapa nama besar susulan prestasi cemerlang mereka di Bangkok.

"Kami sangat gembira dapat mara ke final dalam kejohanan pertama tahun ini. Diharapkan, kami mampu merangkul gelaran juara esok.

"Kami masih berbincang dengan beberapa penaja. Diharapkan kami boleh mengumumkan berita baik pada hujung bulan ini," kata V Shem.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 7:24 PM