GOH V Shem dan Tan Wee Kiong perlu buktikan kemampuan beraksi tanpa jurulatih. FOTO/NSTP
GOH V Shem dan Tan Wee Kiong perlu buktikan kemampuan beraksi tanpa jurulatih. FOTO/NSTP
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Berlatih tanpa jurulatih terbukti menjadi tugas sukar buat beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tetapi gandingan berpengalaman itu bertekad untuk memulakan 2019 dengan gemilang.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 Rio itu mencipta kejutan dengan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada penghujung tahun lalu dan akan memulakan karier profesional di Thailand Masters yang membuka tirai, esok.

Ketika dihubungi di Bangkok, Thailand, hari ini, V Shem, berkata: “Kami baru mula berlatih pada Jumaat (4 Januari) lalu bersama kelab Sri Petaling bersama beberapa lagi pemain profesional (Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Lim Khim Wah dan Tan Boon Heong). 

“Kami masih berlatih di Akademi Badminton Malaysia. Kami masih belum mendapatkan jurulatih dan masih menunggu pengesahan daripada penaja kami. 

“Jelas tidak mudah berlatih tanpa jurulatih kerana kami perlu mendesak diri kami untuk bekerja lebih keras. Selain daripada itu, saya fikir semuanya agak sama,” katanya.

V Shem yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia bersama Wee Kiong mengakui meraih keputusan yang bagus di Thailand Masters akan meningkatkan keyakinan mereka menjelang aksi Malaysia Masters di Kuala Lumpur, minggu depan.

Gandingan V Shem-Wee Kiong yang diletakkan sebagai pilihan utama akan membuka kempen menentang pasangan tuan rumah, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.

“Kami faham kami adalah pilihan utama di sini (Thailand) tetapi saingan dalam kategori beregu lelaki ketika ini terbuka. Ada banyak gandingan yang hebat, jadi kami perlu kekal fokus dan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan,” kata V Shem yang gelaran terakhir diraihnya adalah di kejohanan Siri Super Final BWF pada 2016.

Selain V Shem-Wee Kiong, gandingan beregu lelaki negara yang turut beraksi ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang diletakkan pilihan kedua, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan bekas beregu BAM, Chooi Kah Ming-Loh Juan Shen.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 6:22 PM