SOON Kit sukar pisahkan  V Shem-Wee Kiong. FOTO/FAIL
SOON Kit sukar pisahkan V Shem-Wee Kiong. FOTO/FAIL
Daripada Fabian Peter di Bangkok


GOH V Shem-Tan Wee Kiong antara yang amat mengecewakan pada kempen Piala Thomas tahun ini namun ketua jurulatih beregu lelaki negara Cheah Soon Kit tidak bersedia untuk memisahkan mereka.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu gagal meraih mata apabila diperlukan sekali gus menyaksikan Malaysia tersingkir pada suku akhir sesudah tumpas 1-3 kepada Indonesia, di sini semalam.

Di sebalik layak ke suku akhir, V Shem-Wee Kiong turut mengecewakan pada aksi terakhir Kumpulan D apabila mereka kalah kepada beregu Denmark, Mads Pieler Kolding-Mads Conrad Petersen. Denmark menang perlawanan itu 3-2 untuk menjuarai kumpulan.

“Mereka masih pasangan terbaik negara dan saya percaya mereka masih boleh melakukan sesuatu,” kata Soon Kit hari ini.

“Saya fikir apa yang lebih penting sekarang adalah saya duduk berbincang dengan jurulatih lain untuk memutuskan mengenai perancangan masa depan.

“Mungkin selama ini kami terlalu bergantung kepada V Shem-Wee Kiong, tapi anda lihat satu lagi pasangan (Aaron Chia-Teo Ee Yi) juga boleh diharapkan.

“Buat masa ini, saya tidak fikir kami akan memisahkan mereka, kerana mereka akan bermain pada Kejohanan Dunia (Nanjing, China) selain Sukan Asia (Indonesia). Kami perlu memperhalusi perancangan terhadap mereka,” ujarnya.

Pada suku akhir semalam, selepas mendahului 1-0 menerusi perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei, V Shem-Wee Kiong gagal memenuhi harapan peminat apabila tewas 19-21, 22-20, 13-21 kepada beregu nombor satu dunia, Marcus Gideon Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 11:19 PM