PEMAIN baharu Selangor, Mohd Faiz Nasir. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN baharu Selangor, Mohd Faiz Nasir. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Bekas tonggak Terengganu FC (TFC), Mohd Faiz Nasir menepis dakwaan keputusannya membuat pusingan U dengan menolak tawaran Melaka United (MU) disebabkan faktor gaji lumayan dijanjikan Selangor.

Sebaliknya, pemain tengah berusia 26 tahun itu menegaskan, keputusan berkenaan didorong faktor keluarga serta keinginannya untuk menyarung jersi skuad The Red Giants sejak bergelar pemain bola sepak profesional.

“Itu pandangan peminat atau pengkritik, saya tidak boleh halang, tetapi saya tegaskan bukan soal tawaran lumayan yang diterima daripada skuad juara 33 kali Piala Malaysia itu membuatkan saya tidak memilih MU.

“Ini mungkin rezeki saya bersama Selangor, lagipun saya sudah berunding secara baik dengan pengurusan Melaka berhubung perkara itu dan berharap isu ini tidak diperbesarkan,” katanya.

Sebelum ini pemain yang membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia musim ini dan naib juara Liga Perdana musim lalu hampir pasti menyarung jersi skuad MU musim depan selepas meninggalkan skuad Penyu.

Bagaimanapun, minggu lalu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengumumkan pemain kelahiran Kelantan itu adalah antara 'keluarga' mereka dan sah disenaraikan dalam pasukan itu musim depan.

Mengulas lanjut, Faiz berharap keputusannya bersama Latif Suhaimi menyarung jersi skuad kendalian B Sathianathan itu bukan sekadar pelengkap pasukan, sebaliknya berharap kehadirannya dapat membantu pasukan itu meraih trofi.

“Selepas gagal mendakap trofi Piala Malaysia bersama TFC, saya harap rezeki saya tiba musim depan lebih-lebih lagi skuad itu ada auranya yang tersendiri,” kata Faiz yang mengikat kontrak selama setahun bersama skuad itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 1:57 PM