Arif (kanan) teruja sertai pasukan utama Terengganu. FOTO NSTP
Arif (kanan) teruja sertai pasukan utama Terengganu. FOTO NSTP
Malik Muhamad


BAGAI sirih pulang ke gagang.

Itu peribahasa tepat buat Arif Fadzillah Abu Bakar yang kembali ke negeri kelahirannya musim depan menyarung jersi skuad Terengganu FC (TFC).

Arif, 23 mesra dipanggil Pok mengakui teruja untuk memperkuatkan TFC dan tidak menduga khidmatnya diperlukan oleh skuad kendalian jurulatih muda, Nafuzi Zain.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu pernah menyarung jersi skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu bagaimanapun menyatakan tidak mudah buatnya untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Ini rezeki saya, lagipun sudah lama mengidam untuk menyarung jersi skuad utama negeri kerana sebelum ini pernah bermain dengan T-Team dan Terengganu FC II (TFC II).

"Ada dua pasukan berminat mendapatkan khidmat saya termasuk bekas pasukan Felda United dan Petaling Jaya City FC (PJ City) namun saya lebih cenderung kepada TFC.

"Terima kasih kepada barisan jurulatih dan Nafuzi kerana menawarkan kontrak dan mahu membalas kepercayaan dengan persembahan terbaik," kata Arif.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengumumkan bekas pemain Felda United itu antara muka baharu TFC selain bekas pemain Perak, Nasir Basharuddin.

TFC menggugurkan 12 pemain utama musim ini termasuk dua pemain import, Kipre Tchetche dan pemain tengah kebangsaan Kemboja, Thierry Chantha Bin.

Arif, anak petani, mahu meraih sekurang-kurangnya satu piala musim depan.

"Saya belum pernah merasai nikmat menjulang piala dan berharap tuah mengiringi TFC musim depan untuk meraih satu trofi," ujar bekas murid Sekolah Kebangsaan Kubu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 4:02 PM