FAIZ memperbaharui kontrak selama dua tahun sehingga 2024 bersama TFC. FOTO ihsan TFC
FAIZ memperbaharui kontrak selama dua tahun sehingga 2024 bersama TFC. FOTO ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: 'Arkitek' Terengganu FC (TFC), Faiz Nasir sah memperbaharui kontrak bersama skuad Penyu itu, semalam.

Menerusi kenyataan media TFC, bekas pemain kebangsaan yang digelar 'Messi Ganu' itu menyambung kontrak lanjutan selama dua tahun lagi sehingga 2024.

Pemain berketinggian 1.56 meter kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu sebelum ini dikhabarkan cuba dipancing beberapa kelab lain termasuk pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun, dengan pengesahan itu, pemain berusia 30 tahun yang kembali menyarung jersi TFC sejak dua musim lalu selepas beraksi bersama Selangor pada 2019 bakal membantu pasukan dalam saingan Liga M dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), musim depan.

"Faiz Nasir sudah memperbaharui dan menandatangani kontrak selama dua tahun bersama TFC sehingga 2024 selepas menyatakan hasratnya untuk beraksi di pentas Asia musim depan.

"Kecemerlangan pemain itu bersama TFC musim ini dengan membantu pasukan muncul naib juara Piala FA, kedua Liga Super dan layak beraksi di pentas Asia adalah kriteria lanjutan kontrak pemain itu.

"Kita percaya pemain itu mampu memberikan impak positif kepada pasukan selepas ini selaras dengan misi pasukan," demikian menurut kenyataan media pasukan itu.

Sementara itu, Faiz gembira dan bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk menyarung jersi pasukan itu selama dua musim lagi.

"Alhamdulillah khidmat masih diperlukan TFC, terima kasih kepada pihak pengurusan TFC selepas ditawarkan kontrak sehingga 2024.

"Insya-Allah saya bertekad untuk memberikan yang terbaik buat pasukan lebih-lebih lagi bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 8:08 PM