FAIZ (kiri) dan Azarul dipinjamkan ke Kelantan United. FOTO TFC
FAIZ (kiri) dan Azarul dipinjamkan ke Kelantan United. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian Faiz Nasir dan Azarul Nazarith Azhar untuk beraksi dalam kancah Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) bersama Terengganu FC (TFC), bulan depan, berkecai selepas mereka diketepikan pasukan dari Pantai Timur itu.

Sebaliknya, dua pemain berkenaan sah dipinjamkan kepada pasukan jiran, Kelantan United FC (KU FC) bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Terdahulu Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menamatkan kontrak pemain tengah, Domogoj Pusic selepas aksi tidak konsisten diperagakan pemain kelahiran Croatia itu yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi kelab itu, hari ini, kedua-dua pemain itu dipinjamkan kepada pasukan The Green Deers sehingga akhir musim ini, sekali gus menyaksikan mereka tidak dapat beraksi di pentas Asia.

"Azarul Nazarith dan Faiz Mohd Nasir secara rasminya akan dipinjamkan kepada pasukan Kelantan United FC sehingga akhir musim ini.

"Berdasarkan rekod, kontrak Azarul Nazarith bakal berakhir pada akhir musim ini manakala kontrak Faiz sehingga akhir musim 2024.

"Terengganu FC mengucapkan selamat maju jaya buat kedua-dua pemain ini," umum kenyataan media rasmi kelab itu.

Berdasarkan rekod, Faiz, 31, yang juga bekas pemain tengah kebangsaan mula menyarung jersi skuad TFC buat kali pertama pada 2017 hingga 2018 sebelum berkelana bersama Selangor FC pada 2019 dan kembali menyarung jersi skuad Penyu bermula 2020.

Manakala Azarul Nazarith, 25, yang juga bekas pertahanan skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan mula menyarung jersi TFC pada 2021 dari pasukan Felda United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 5:39 PM