Mehmet Durakovic. FOTO fail HM Digital
Mehmet Durakovic. FOTO fail HM Digital
Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berterima kasih kepada Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana merestui keputusannya untuk terus kekal bersama skuad The Bos Gaurus.

Durakovic sebelum ini dilaporkan sudah menandatangani kontrak bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) September lalu, namun membuat pusingan U untuk terus membimbing Perak musim depan.

Malah, pengendali berusia 53 tahun itu tidak menolak kemungkinan akan kembali ke pasukan Selangor sekiranya diberikan peluang pada masa akan datang.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Raja Muda Selangor dan saya berbual mesra bersama beliau selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, memang ada menyatakan persetujuan untuk sertai Selangor.

“Tetapi selepas menjelaskan semua situasi dengan keluarga saya dan apa yang berlaku dalam Piala Malaysia, beliau merestui saya terus bersama Perak.

“Saya menghormati seluruh pasukan Selangor dan beliau berkata pintu sentiasa terbuka untuk saya dan keluarga kembali ke Selangor. Mungkin satu hari nanti saya akan kembali ke Selangor,” katanya selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK18) di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Durakovic yang memacu Perak muncul juara Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu dipilih sebagai pemenang anugerah Jurulatih Terbaik.

Durakovic tidak asing lagi kepada pasukan serta penyokong Selangor selepas beliau menyertai Red Giants pada 1995 hingga 1998 sebagai pemain dan kembali sebagai jurulatih pada 2013 hingga 2015.

Selain itu, Durakovic turut mengakui bakal memikul tugas lebih berat bersama Perak musim depan terutama pasukan itu akan bersaing pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Ia akan menjadi musim yang besar buat Perak terutama beraksi di ACL dan sudah pasti kami mahu mara lebih jauh.

“Ia bukan mudah, tapi saya percaya kami dapat lakukan yang terbaik. Anugerah (Jurulatih Terbaik) ini juga hasil bantuan daripada semua pemain, staf kejurulatihan dan pihak pengurusan Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 4:57 PM