Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic
Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic
Mohd Hafizee Mohd Arop


JURULATIH Perak, Mehmed Durakovic berharap pemainnya dapat menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Korea Selatan pada perlawanan Pusingan Kelayakan Ketiga Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Ulsan Hyundai, Selasa ini.

Durakovic berkata, pemainnya tidak pernah beraksi dalam cuaca sejuk yang dijangka bawah 10 darjah celcius dan keadaan ini boleh menjadi masalah besar kepada pasukan.

"Mereka (pemain) tidak pernah beraksi dalam keadaan begini, ini adalah masalah besar kerana mereka bermain dalam suhu 28 hingga 29 darjah celsius di sini dan ini memang bukan perkara mudah.

"Namun ini adalah bola sepak, walaupun ia adalah sukar namun kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya yang ditemui selepas latihan pasukan di Stadium Perak di sini, hari ini.

Menurut Durakovic, pasukannya akan mengadakan satu lagi sesi latihan di Stadium Perak esok pagi bagi melihat keseluruhan pemain sebelum bertolak ke Korea Selatan.

"Kita akan melihat esok prestasi pemain sebab ada lima, enam pemain mengalami kecederaan dan pasukan akan beraksi sebaik mungkin pada perlawanan itu nanti.

"Ulsan bukan pasukan mudah kerana mereka mempunyai pemain tempatan dan kebangsaan yang sangat bagus serta menunjukkan prestasi sangat baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 2:59 PM