MEHMET DURAKOVIC
MEHMET DURAKOVIC
Azizan Hashim

IPOH: Mehmet Durakovic menasihatkan anak buahnya tidak menghiraukan provokasi dan suasana luar padang sebaliknya tumpukan sepenuh perhatian terhadap pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Sabah di Stadium Likas, malam esok.

“Pasti akan ada gangguan tetapi jangan pedulikan apa berlaku di luar padang. Sebaliknya pastikan Perak berjaya ke akhir kali ini, ” kata jurulatih kelahiran Australia itu.

Durakovic bagaimanapun sedar perlawanan itu pasti tidak mudah kerana Sabah akan berusaha memadam kelebihan Perak.

“Sabah akan berusaha untuk menebus maruah yang tercalar di Ipoh. Namun saya yakin pemain Perak juga ingin buktikan bahawa mereka menang bukan kerana nasib,” katanya.

Durakovic kini menunggu untuk melihat perkembangan kecederaan pemain kebangsaan, Nor Hakim Hassan, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Amirul Azhan Aznan, Kenny Pallraj serta Wunder Luiz sebelum menamakan kesebelasan permulaan.

“Beberapa pemain mengalami kecederaan. Jadi saya perlu tunggu hingga ke saat akhir untuk menentukan siapa akan diturunkan malam esok,” katanya.

Jurulatih itu menuntut anak buahnya bermain seperti ketika pertemuan pertama di Ipoh pada 7 Oktober lalu.

“Jika mampu ulangi persembahan seperti di Ipoh itu saya yakin kami boleh berjaya. Pemain perlu fokus pada perlawanan sehingga wisel penamat dibunyikan, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 9:08 PM