MEHMED DURAKOVIC
MEHMED DURAKOVIC
Azizan Hashim


IPOH: Perak mendapat tonik sebelum final Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Shah Alam, malam ini apabila pemain sayap lincahnya, Nor Hakim Hassan disahkan boleh beraksi.

Pemain sayap berusia 27 tahun itu sebelum ini dilaporkan cedera selepas terpaksa dikeluarkan pada separuh akhir kedua dengan Sabah di Stadium Likas, Ahad lalu yang menyaksikan Perak melangkah ke final dengan agregat 7-2.

Difahamkan, Nor Hakim tidak menjalani latihan bersama rakan sepasukan sejak beberapa hari lalu dan terpaksa melakukan ujian MRI.

Jurulatih Mehmet Durakovic berkata, pemeriksaan MRI dijalankan terhadap pemain itu mendapati kecederaan lutut dialaminya tidak serius.

“Mujur dia (Nor Hakim) tidak mengalami kecederaan serius namun keputusan sama ada pemain itu akan beraksi atau tidak hanya akan ditentukan pada latihan terakhir.

“Bukan saja Nor Hakim, Wander Luiz dan Kenny (Palraj) juga mengalami kecederaan dan keputusan sama ada mereka akan diturunkan akan ditentukan selepas latihan terakhir,” katanya.

Durakovic berkata, pemainnya sudah bersedia membuat perhitungan dengan skuad Penyu bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dan mempunyai azam tinggi untuk menjulang piala kebanggaan itu.

“Sebahagian besar pemain Perak kali pertama beraksi pada perlawanan akhir dan mereka cukup teruja beraksi di hadapan lebih 70,000 penonton.

“Saya yakin perlawanan ini pasti tidak mudah buat kedua-dua pasukan dan pasukan yang kurang melakukan kesilapan serta menumpukan sepenuh perhatian akan meraih kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 10:04 AM