PEMAIN Manchester City, Gabriel Jesus (kiri) dikeluarkan Guardiola pada aksi menentang Newcastle. FOTO Reuters
PEMAIN Manchester City, Gabriel Jesus (kiri) dikeluarkan Guardiola pada aksi menentang Newcastle. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Penyerang Manchester City, Gabriel Jesus menegaskan tiada pemain yang boleh berasa tempat mereka selamat selepas Leroy Sane diketepikan daripada skuad ketika aksi Liga Perdana berdepan Newcastle.

Pemain antarabangsa Jerman yang tiba pada musim panas lalu, tidak langsung berada di bangku simpanan ketika juara bertahan Liga Perdana itu menang 2-1 ke atas Newcastle di tempat sendiri, awal pagi semalam.

Sane yang tidak tersenarai dalam skuad Piala Dunia Jerman, beraksi dalam empat perlawanan City sebelum ini termasuk dalam aksi Perisai Komuniti yang menyaksikan dia dikeluarkan pada separuh masa.

Laporan hujung minggu lalu mendakwa Pep Guardiola kurang senang dengan sikap dan permintaan Sane - sesuatu yang pengurus itu nafikan pada sidang media selepas perlawanan namun pemain berusia 22 tahun itu perlu melakukan sesuatu untuk kembali menjadi pemain utama.

Bagi Jesus, dia menganggap isu berkenaan menjadi pengajaran buat semua pemain.

“Ia perkara biasa (berlaku) dengan skuad yang hebat ini (seseorang pemain boleh diketepikan),” kata pemain antarabangsa Brazil itu.

“Ahad lalu terjadi kepada Sane, tapi untuk masa akan datang, ia mungkin terjadi kepada saya atau pemain lain. Saya perlu bekerja keras dan mengelak ia berlaku kepada saya.

“Kami semua tahu kualiti yang Sane miliki, dia penting untuk kelab tapi pada permulaan musim, ia perkara biasa apabila beberapa pemain bermula baik atau lebih cergas daripada yang lain. 

“Saya hanya berharap apabila kembali kepada pasukan, dia berada pada tahap 100 peratus dan boleh membantu kami seperti yang sentiasa dia lakukan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 6:26 PM