ALIA terlepas mara final. FOTO/BERNAMA
ALIA terlepas mara final. FOTO/BERNAMA
BERNAMA

PALEMBANG: Hanya satu mata memisahkan pemenang pingat gangsa Sukan  Komanwel 2018, Alia Sazana Azahari dengan pusingan akhir bagi acara 25m pistol wanita  Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang berlangsung di sini hari ini. 

Atlet berusia 26 tahun itu mencatat 579 mata untuk berada di tangga ke-9 pusingan kelayakan, kekurangan satu mata di belakang tempat ke-8 dan ke-7 yang masing-masing milik Junghye Kwak dari Korea Selatan dan Rahe Jeevan Sarnobat (India) yang mencatat 580 mata di Lapangan Menembak Jakabaring, di sini.  

Hanya lapan teratas layak ke final.

Pencapaian penembak kelahiran Kuala Terengganu itu menghampiri catatan terbaiknya pada 584 di kejohanan antarabangsa dan 586 bagi kejohanan domestik.

Mengulas keputusan hari ini, Alia Sazana berkata sebahagian dirinya berasa kecewa namun sebahagian lagi berasa gembira.

“Saya gembira kerana ia catatan peribadi saya yang agak baik dan kecewa kerana mata yang dikumpul tidak cukup untuk membawa saya ke final.

“Permulaan saya agak perlahan kerana diselubungi rasa gementar namun situasi itu akan berubah selepas seketika apabila saya sudah dapat mengawal perasaan dan seterusnya berupaya membuat catatan yang tinggi,” katanya selepas acara itu.

Pemenang pingat emas  Sukan SEA edisi 2017 dan 2018 itu berkata langkah beliau yang seterusnya ialah bersedia untuk Kejohanan Menembak Dunia ISSF di Changwon, Korea Selatan yang berlangsung dari 2 hingga 14 September ini.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Bibiana Ng Pei Chin menamatkan saingan di tangga ke-25 daripada 32 peserta selepas membidik 569 mata.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat pertama mereka di Jakabaring menerusi  atlet  remaja berusia 16 tahun Eng Wei Jin yang membuat penampilan sulung dalam double trap lelaki esok manakala Joseline Cheah Lee Yean dan Bibiana akan bersaing dalam 10m air pistol wanita pada Khamis.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 4:30 PM