JOHNATHAN Wong Guanjie (dua, kanan) dan Joseline Cheah Lee Yean (dua, kiri) beraksi pada 10 meter Air Pistol campuran. FOTO Bernama
JOHNATHAN Wong Guanjie (dua, kanan) dan Joseline Cheah Lee Yean (dua, kiri) beraksi pada 10 meter Air Pistol campuran. FOTO Bernama
BERNAMA

PASANGAN Malaysia Johnathan Wong Guanjie-Joseline Cheah Lee Yean terlepas peluang ke final acara 10m air pistol berpasukan campuran dengan hanya perbezaan empat mata pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Pasangan itu mengumpul 755 mata dalam pusingan kelayakan di Lapangan Menembak Jakabaring di Palembang, ketinggalan empat mata di belakang tempat kelima Kazakhstan (759).

Susulan hanya lima pasukan teratas akan mara ke final, kempen Johnathan dan Joseline dalam acara itu berakhir di pusingan kelayakan.

“Agak mengecewakan terlepas peluang ke final dengan hanya empat mata, tetapi ia juga menjadi motivasi kerana perbezaan mata agak rapat. Saya fikir mata kami tidak tinggi kerana kami baru bergandingan dan kurang latihan,” kata Johnathan kepada Bernama selepas acara itu.

Wu Jiayu-Ji Xiaojing daripada China mengungguli pusingan kelayakan dengan 769 mata, iaitu rekod baharu kelayakan Asiad, diikuti pasangan Korea Selatan Lee Dae Myung-Kim Min Jung (768) dan pasangan Jepun Tomoyuki Matsuda-Akiko Sato (766).

Cabaran Johnathan seterusnya ialah dalam acara 10m air pistol lelaki pada Selasa manakala Joseline akan berentap dalam 10m air pistol wanita dijadualkan pada Jumaat.

“Sebenarnya teknik kami pada hari ini agak baik, saya hanya perlu kawal pistol saya dan untuk lebih fokus, selain daripada itu, jurulatih saya kata semuanya okay. Saya harap dapat melakukan catatan peribadi terbaik dengan pistol ini dalam acara individu kerana saya hanya menggunakan pistol  ini baru-baru ini sahaja,” katanya.

Catatan terbaik penembak berusia 25 tahun ini dengan pistol baharu yang lebih canggih itu ialah  579 mata, enam mata lebih rendah daripada pistol sebelumnya (585).

Terdahulu,  Mohamad Lutfi Othman-Nur Izazi Rosli juga gagal melayakkan diri ke final dalam acara 10m raifal berpasukan campuran selepas menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan 820.5 mata.

Pasangan Korea Selatan Kim Hyeonjun- Jung Eunhea mengungguli pusingan kelayakan dengan 836.7 mata diikuti pasangan India Ravi Kumar-Apurvi Chandela (853.3) dan Bayaraa Nyantai- Nandinzaya Gankhuyag  (832.1) daripada Mongolia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 6:55 PM