Habuan RM20,000 bakal diraih penembak negara Alia Sazana Azahari sebagai ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kerana memenangi pingat emas.

Namun apa yang mencetuskan inspirasi kepada kejayaannya dalam acara 25m pistol individu wanita semalam adalah pertaruhan dengan kawan-kawannya untuk mendapat set burger Chili’s percuma.

Pusat Menembak Kebangsaan Singapura kecoh dengan laungan ‘Chili’s Burger’ oleh rakan sepasukannya ketika Alia beraksi di final berdepan penembak tuan rumah Teh Xiu Hong. Ternyata taktik itu membuahkan hasil untuk membakar semangat penembak berusia 23 tahun itu.

Berdasarkan kiraan mata 7-1, Alia tenang memastikan kemarau emas dalam acara menembak di temasya edisi ke-28 ini berakhir.

Kejayaan itu memang tidak diduga kerana dia sebenarnya tidak diletakkan harapan mara ke final dan bergelar juara.

“Saya menang burger percuma kerana ini pertaruhan saya dengan kawan-kawan. Sebenarnya ini cara terbaik untuk mengurangkan tekanan.

“Saya lihat kebanyakan penembak sangat tertekan. Memang ia cuma satu pertandingan tapi jika kita tertekan, di mana kehangatannya? Sebenarnya saya sendiri terkejut saya menang hari ini (semalam),” kata Alia.

Alia secara tiba-tiba menjadi sandaran terbaik skuad menembak negara meraih emas selepas penembak lebih senior Bibiana Ng dan Siti Nur Masitah Mohd Badrin gagal melepasi pusingan kelayakan.

Atlet dari Kuala Terengganu itu yang menduduki tangga kelapan di pusingan kelayakan, slot terakhir ke separuh akhir nyata bersemangat dengan sorakan ‘Chili’s Burger’ apabila menduduki tangga kedua di belakang Xiu Hong untuk membuat perhitungan dengan peserta Singapura itu di final.

Bagi Alia, walaupun tembakannya pada pusingan kelayakan tidak bagus, namun dia tetap yakin untuk bangkit kerana tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

“Di pusingan kelayakan, saya banyak melakukan kesilapan tapi sedar masih ada peluang kerana kekuatan semua penembak di Sukan SEA seimbang.

“Apabila mara ke final, saya mula merasai tekanan tapi saya cari jalan untuk mengatasinya. Saya yakin boleh menang, saya tak mahu bergembira terlebih awal kerana apa saja boleh berlaku,” katanya yang pernah beraksi di Sukan Komanwel Glasgow tahun lalu.

Gangsa acara itu dimenangi penembak Vietnam Thi Le Hoang Ngoc yang menewaskan Hirunphoem Kanyakorn dari Thailand.

Sementara itu dalam acara 50m pistol individu lelaki, penembak negara Johnathan Wong, 22, sekadar meraih gangsa apabila membidik 165.3 mata dengan emas milik wakil Vietnam Hoang Xuan Vinh dan Natphanlert Auapinyakul dari Thailand perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 11:54 AM