Lutfi Othman gagal ke pusingan akhir kerana hanya mendapat 1,158 mata di tempat ke-10. FOTO BERNAMA
Lutfi Othman gagal ke pusingan akhir kerana hanya mendapat 1,158 mata di tempat ke-10. FOTO BERNAMA

PALEMBANG: Hanya satu mata memisahkan penembak muda negara, Mohamad Lutfi Othman dengan pusingan akhir acara 50m Rifle 3 posisi lelaki Sukan Asia Jakarta-Pelambang 2018 di Lapang Sasar Jakabaring, di sini hari ini.

Penembak berusia 24 tahun itu menamatkan pusingan kelayakan di tempat ke-10 dengan 1,158 mata, kekurangan satu mata berbanding Yuriy Yurkov dari Kazakhstan yang mengisi slot terakhir ke final.

Pelajar jurusan komunikasi Universiti Putra Malaysia itu yang membuat penampilan sulung Sukan Asia, membidik 384 mata bagi disiplin kneeling, 396 mata untuk prone dan 378 mata dalam disiplin standing.

“Hari ini saya tidak ada nasib untuk ke final kerana semua keadaan, teknik dan asas semua bagus. Tetapi banyak bidikan kena pada 9.9... dalam 12 bidikan hanya sedikit tersasar untuk 10… Agak rugi sedikit di situ kerana kalau boleh kita nak 10 untuk meraih mata lebih banyak.

“Selepas ini saya mahu memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 jika diberi peluang. Kejohanan kelayakan akan dibuka pada tahun depan, saya perlu mendapatkan pendedahan dan kumpul mata dengan menyertai lebih banyak kejohanan, terutamanya di peringkat Asia,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Johnathan Wong Guanjie  sekadar menduduki tempat ke-24 daripada 40 peserta selepas membidik 570 mata dalam acara 10m air pistol lelaki.

“Keputusan ini agak mengecewakan bagi saya kerana saya sepatutnya beraksi dengan lebih baik hari ini. Saya mengalami beberapa masalah tadi dan perasan yang bidikan saya tidak konsisten.

“Saya juga kurang keyakinan, mungkin kerana menggunakan pistol baharu dan meletakkan tekanan tinggi ke atas diri saya,” katanya. - BERNAMA

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 5:46 PM