GAYA Sanchez selepas ledak gol kedua United.
GAYA Sanchez selepas ledak gol kedua United.
AFP

Manchester: Jose Mourinho memuji sumbangan Alexis Sanchez yang meledak gol sulungnya di Manchester United ketika menewaskan Huddersfield Town 2-0 awal pagi tadi tetapi kurang gembira dengan suasana ‘sunyi’ di Old Trafford.

Ketika kemenangan jelas menggembirakan, Mourinho mendakwa peminat tuan rumah tidak bersorak dengan cukup kuat bagi memberi sokongan terhadap pemain.

Satu daripada aura positif yang diperoleh United ialah prestasi bekas pemain Arsenal, Sanchez, yang jelas berada di tahap yang baik menyaksikan pemain-pemain Huddersfield tidak segan untuk menjadikan pemain Chile itu sebagai sasaran.

Begitupun di sebalik melihat pembelian baharunya itu sentiasa berdepan terjahan sepanjang perlawanan, Mourinho berkata Sanchez boleh menangani cabaran itu ketika United merapatkan jurang dengan Manchester City kepada 13 mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Alexis adalah pemain yang menakjubkan tetapi bukannya primadona,” kata Mourinho.

“Dia lelaki yang merendah diri dan tidak melupakan di mana tempat di bermula dan saya amat yakin ketika dia bermain di Chile, dia bermain di tempat yang sukar dan dia sudah biasa dengannya.”

Selain prestasi baik Sanchez, satu lagi perkara yang turut menjadi kebimbangan adalah keputusan Mourinho menggugurkan nama Paul Pogba susulan kekalahan besar United kepada Tottenham Hotspur, pertengahan minggu lalu.

Mourinho begitupun menjelaskan beliau tidak mempunyai masalah dengan Pogba tetapi berisiko untuk dibenci peminat United selepas mengkritik suasana di Old Trafford.

Selepas menyuarakan pandangan sama ketika kemenangan ke atas Leicester pada Ogos lalu, Mourinho sekali lagi merasakan dia perlu menyatakan sesuatu mengenai suasana di gelanggang keramat United itu yang disifatkan penuh dengan penonton tetapi pemalu.

“Ia bukannya Portsmouth,” katanya. “Saya mengingati Portsmouth ketika di Liga Perdana. Ia adalah stadium yang kecil tetapi suasana di sana menakjubkan.

“Di sini, suasananya sedikit sunyi, kami tidak begitu bersemangat tetapi pemain-pemain gemar bermain di sini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 11:54 AM