AKSI pemain Croatia ketika bertemu  Russia. FOTO Agensi
AKSI pemain Croatia ketika bertemu Russia. FOTO Agensi
Reuters

CROATIA yang dibarisi barisan pemain berpengalaman, berbakat dan mempamer semangat juang tinggi, namun masih ada kekurangan bagi pasukan itu yang sudah melangkah ke separuh akhir Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah mereka.

Croatia muncul pasukan kedua mencatat kemenangan menerusi penentuan penalti untuk kali kedua berturut-turut sekali gus mengikut jejak langkah Argentina pada 1990 selepas menyingkirkan Russia menerusi penentuan penalti 4-3 sebelum itu menewaskan Denmark di pusingan kedua, juga menerusi penentuan penalti.

Kedua-dua kemenangan itu bagaimanapun tidak menggambarkan mereka mampu memenangi Piala Dunia.

Seramai 14 pemain dalam skuad Croatia berpangkalan di lima liga utama Eropah - England, Sepanyol, Itali, Jerman dan Perancis - termasuk Luka Modric dan Mateo Kovacic di Real Madrid, Ivan Rakitic di Barcelona dan Mario Mandzukic bersama Juventus.

Ketika Croatia melepasi saingan peringkat kumpulan dengan mengumpul sembilan mata penuh daripada tiga perlawanan, mereka jelas dilihat antara pasukan pencabar kejuaraan.

Bagaimanapun prestasi mereka hambar pada pusingan kalah mati dan kemenangan diraih dilihat berpunca daripada lawan tidak begitu kuat.

Ketua jurulatih, Zlatko Dalic menerapkan taktikal menyerang ketika bertemu Russia, namun strategi itu dilihat tidak menjadi.

“Kami tidak begitu berfungsi di tengah. Kami kerap melakukan hantaran jauh dan ia bukan corak permainan sebenar Croatia,” kata Dalic.

Dalic menambah, banyak yang perlu diperbaiki barisan pemainnya.

“Kami akan cuba mempamer aksi terbaik apabila bertemu England. Masih berbaki dua perlawanan dan ketika ini kami semua bermotivasi tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 9:50 PM