KAPTEN Croatia, Luka Modric (kiri) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang perlawanan menentang Scotland, esok. FOTO AFP
KAPTEN Croatia, Luka Modric (kiri) berlatih bersama rakan sepasukannya menjelang perlawanan menentang Scotland, esok. FOTO AFP
AFP

Glasgow: Pengurus Croatia, Zlatko Dalic percaya pasukannya dilayan secara tidak adil berkaitan peraturan Covid-19 di Euro 2020 menjelang perlawanan penting menentang Scotland, esok.

Ketua persatuan bola sepak Scotland mengumumkan hari ini, pemain tengah mereka Billy Gilmour diuji positif Covid-19, tetapi tiada seorangpun pemain pasukan itu dikuarantin.

Croatia sebelum ini mahu berpangkalan di St Andrews, di pantai timur Scotland untuk aksi peringkat kumpulan memandangkan dua perlawanan di Glasgow selepas perlawanan pembukaan di Wembley yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada England.

Bagaimanapun, mereka terpaksa merombak perancangan pada saat akhir kerana peraturan kerajaan Scotland menyatakan kontrak rapat iaitu beberapa pemain akan dikuarantin sekiranya ada pemain positif wabak itu.

Bagaimanapun, peraturan itu nampak tidak diamalkan skuad Scotland sendiri selepas Gilmour didapati positif di kem latihan mereka di Middlesbrough di utara England, dan protokolnya berbeza.

"Mereka beritahu kami, jika salah seorang positif, kami semua akan dikuarantin," kata Dalic dengan nada kecewa pada sidang media menjelang perlawanan.

"Namun begitu, kami akan cuba melakukan yang terbaik."

Dalic berharap Gilmour akan cepat pulih dan tiada jangkitan baru dalam skuad Scotland.

Bagaimanapun, katanya, pemainnya tertekan untuk perlawanan itu kerana akan berdepan pasukan yang baru saja mengumumkan seorang pemainnya postif Covid-19.

"Saya berharap tiada lagi yang positif, saya tidak mahu ia berjangkit," kata Dalic. "Kami mengambil berat, tetapi malangnya terpaksa bermain perlawanan ini."

Croatia, yang tidak dibenarkan berada di kem latihan di negara sendiri, turut menerima tamparan kekurangan penyokong kerana peraturan ketat kerajaan Britain mengenai pengembara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 12:05 AM