Zlatko Dalic (tengah) mengucapkan tahniah kepada pemainnya selepas Croatia menewaskan Jepun pada aksi Piala Dunia. FOTO AFP
Zlatko Dalic (tengah) mengucapkan tahniah kepada pemainnya selepas Croatia menewaskan Jepun pada aksi Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

Doha: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menyifatkan Brazil pasukan 'menakutkan' tetapi pada masa sama skuad kendaliannya dilabel sebagai 'underdog' pada aksi suku akhir berdepan pasukan pilihan itu di Piala Dunia.

Skuad kendalian Dalic muncul naib juara Piala Dunia 2018, menewaskan Jepun menerusi penentuan penalti untuk mengesahkan tempat dan sekurang-kurangnya pencapaian ketiga terbaik di kejohanan.

Dalic sangat bangga prestasi pasukannya yang menunjukkan karakter dan mentaliti untuk berada sejauh itu di Qatar, namun menyedari bakal berdepan cabaran besar pasukan berbakat Brazil.

"Brazil mempunyai (keseluruhan) 200 juta orang penduduk, kami hanya mempunyai 4 juta, jadi kami seperti sebuah bandar kecil di Brazil.

"Ia akan menjadi perlawanan yang berbeza daripada pasukan yang kami tentang setakat ini kerana Brazil gemar bermain bola sepak.

"Secara realistik, Brazil adalah pasukan terbaik di kejohanan ini, mereka mempunyai pilihan pemain yang bagus, pasukan bagus, ia menakutkan, jadi ia ujian yang hebat buat kami."

Dalic berkata 'ia tidak akan menjadi lebih baik' berbanding beraksi berdepan Brazil di Piala Dunia.

"Mungkin kami menjangkakan pertembungan di final berbanding suku akhir.

"Kami mahu memberikan kesungguhan yang maksimum - kami tidak akan menyerah kalah sebelum perlawanan.

"Kami mahu menyaingi kualiti Brazil dengan kemampuan kami dan kami mahu bermain bola sepak menentang mereka." katanya.

Croatia memberikan suntikan baru buat skuad mereka sejak Piala Dunia empat tahun lalu, dengan hanya beberapa pemain veteran yang memberi impak buat pasukan termasuk kapten, Luka Modric dan pemain sayap, Ivan Perisic dikekalkan.

Dalic berkata generasi sekarang tidak harus dibanding dengan pasukan yang tewas kepada Perancis pada final di Rusia kerana mereka sebahagian besarnya beraksi di beberapa kelab elit.

"Kami sudah melakar keputusan bersejarah selepas memperoleh perak pada 2018 dan gangsa pada 1998, ini adalah pencapaian ketiga terbaik buat Croatia di Piala Dunia.

"Saya tidak akan membuat perbandingan bagi pasukan dari 2018, kemudian apabila anda melihat kepada barisan pemain kami, mereka beraksi untuk kelab seperti Barcelona, Inter (Milan), Juventus, Liverpool, sudah tentu Real Madrid.

"Apabila anda membandingkan pada hari ini, kami mempunyai enam pemain daripada divisyen pertama Croatia, ia pasukan yang berbeza.

"Tetapi saya memuji barisan pemain generasi sekarang, kerana mereka bermain dengan baik." katanya.

Brazil menewaskan Korea Selatan 4-1 dengan salah satu daripada aksi terbaik mereka pada kejohanan setakat ini namun Dalic berpendapat skuad kendaliannya mampu memberi saingan sengit buat juara Piala Dunia lima kali itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 8:57 PM