LEWIS HAMILTON
LEWIS HAMILTON
Reuters

SILVERSTONE: Juara dunia empat kali, Lewis Hamilton berkata, Formula Satu adalah tidak berbaloi untuk mati tetapi dia berasakan tuhan melindunginya ketika mengambil pelbagai risiko di trek perlumbaan.

Dalam temu bual diterbitkan oleh Formula Satu semalam, pelumba Mercedes memperkatakan mengenai tahap keyakinannya.

Pelumba berusia 33 tahun itu yang menjadi pelumba pilihan untuk menjuarai Grand Prix British kali kelima berturut-turut pada Ahad ini berkata, Formula Satu memberi ‘nyawa’ kepadanya tetapi pada masa yang sama turut merosakkan kehidupannya.

“Ia merosakkan saya dan membina kembali saya,” jelas Hamilton.

“Apabila anda melaluinya, kamu perlu bekerja keras dengannya, ia melukakan hati anda dan membunuh kamu jika kamu gagal, jika kamu membuat kesilapan, semua orang menyaksikan kamu melakukannya,” katanya.

“Tetapi apabila kamu kembali bangkit dan berjaya ia akan mengangkat anda kembali. Apabila kamu cedera, kamu sembuh dan meneruskannya. Itu maksud saya.”

Pelumba Formula Satu British paling berjaya itu membuat penampilan sulung dengan McLaren pada tahun 2007, mengatakan tetap menyukai perlumbaan tapi tidak dengan apa-apa kos.

“Saya tidak mengatakan F1 bernilai untuk mati,” katanya. “Impian, semangat, cita-cita dan matlamat anda mungkin lebih bernilai.”

Hamilton menyedari akan bahaya dalam kariernya itu.

“Apa-apa boleh berlaku pada hari ini, tetapi saya rasa Tuhan melindungi saya,” katanya.

“Tiada jaminan saya akan hidup untuk melihat hari jadi akan datang apatah lagi hidup sehingga 100 tahun. Saya hanya mahu memastikan mendapat segala-galanya waktu sekarang dan keesokan harinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 1:58 PM