PEMANDU Ferrari, Sebastian Vettel. Foto REUTERS
PEMANDU Ferrari, Sebastian Vettel. Foto REUTERS
AFP

PEMANDU Ferrari, Sebastian Vettel menyelar pihak yang menganggap dia melakukan terlalu banyak kesilapan dalam usaha memenangi kejuaraan Formula Satu musim ini.

Pelumba Jerman itu dikenakan penalti ketika GP Perancis minggu lalu kerana kesalahan bertembung dengan seteru dari Mercedes, Valtteri Bottas.

Kesudahannya, dia sekadar menamatkan saingan di tempat kelima.

Insiden itu mengakibatkan Vettel kini ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Lewis Hamilton selepas lapan perlumbaan dengan kedua-dua musuh itu masing-masing sudah memenangi tiga aksi.

“Ia adalah perlumbaan. Memang anda melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya tetapi ia tetap berlaku. Ia bergantung kepada jenis kesalahan,” kata Vettel.

“Saya sudah mengharungi banyak perlumbaan. Ia sering berlaku, malangnya banyak kali berlaku. Saya cuba untuk mengurangkannya tetapi saya tidak bimbang. Saya tidak fikir ada perkara yang benar-benar memudaratkan,” tambahnya lagi.

“Saya rasa kami tahu apa yang sedang kami lakukan - saya sendiri harap saya tahu apa yang saya lakukan pada sebahagian besar perlumbaan. Justeru, saya tidak perlu bimbang.”

Pelumba Jerman itu hilang peluang untuk menamatkan saingan di podium ketika GP Azerbaijan, April lalu. Walaupun memulakan aksi di petak utama, dia sekadar melintasi garisan penamat di tangga keempat.

Di China, pertembungan dengan pemandu Red Bull, Max Verstappen menyebabkan dia kehilangan mata dan bermula dari petak utama tidak memberi kelebihan kepadanya.

Sementara itu, Hamilton mengharungi 33 perlumbaan berturut-turut tanpa tercicir mata sekali gus menyebabkan peluangnya dilihat lebih cerah berbanding pesaingnya dari Ferrari itu.

“Perjalanan masih jauh. Adalah normal apabila berlaku sesuatu ketika ini,” kata Vettel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 12:14 PM