Hamilton (tengah atas) mahu kekal sebagai pelumba terbaik F1. -Foto AFP
Hamilton (tengah atas) mahu kekal sebagai pelumba terbaik F1. -Foto AFP

LEWIS Hamilton yang bersemangat tinggi memberi peringatan kepada pelumba generasi baharu Formula Satu (F1) yang dia masih lagi ‘lelaki yang perlu ditewaskan.’

Pelumba kelahiran Britain itu mengambil satu lagi langkah untuk memenangi gelaran dunia keempat apabila memacu Mercedes AMG PETRONAS menjuarai perlumbaan di Jepun, semalam.

Kemenangan itu memberikannya jurang besar 59 mata mengatasi pencabar utamanya, Sebastian Vettel berbaki empat perlumbaan musim ini.

Ketika pelumba Ferrari, Vettel tampak bergelut dengan masalah mekanikal, Hamilton secara matematik boleh dinobatkan juara dunia pada perlumbaan berikutnya di Austin, Texas Amerika Syarikat.

Begitupun, pelumba berusia 32 tahun itu mengakui dia sudah merasa tua apabila pelumba muda berwajah ‘keanak-anakan’ seperti pelumba Red Bull, Max Verstappen sentiasa menghambatnya.

AKSI Hamilton di GP Suzuka. -Foto AFP
AKSI Hamilton di GP Suzuka. -Foto AFP

“Ketika saya memandu di laluan yang lurus, pada satu ketika saya berfikir: “Lelaki di belakang jauh lebih muda berbanding saya,” kata Hamilton yang tewas di Sepang kepada Verstappen dan dihambat pelumba sama ketika di Suzuka.

“Saya perlu memastikan yang saya lelaki yang boleh menerima cabaran, membuktikan usia saya dan memastikan saya kekal di depan.

“Untuk membuktikan yang saya sebenarnya masih mempunyai hati yang muda. Itulah cara bagaimana minda saya berfikir untuk meninggalkan kamu semua.”

Verstappen, 20 yang meraih kemenangan karier kedua di Malaysia membalas kenyataan Hamilton.“Saya terfikir, lelaki yang sebegitu tua berada di depan saya!” Di sebalik dengan nada percakapan berjenaka, Hamilton jelas fokus untuk mendapatkan kembali magisnya di Suzuka.

“Dia memenangi perlumbaan terdahulu dan saya tidak akan memberikannya yang ini,” kata Hamilton. “Kami semua tahu betapa pantas Max, dia melakukan kerja yang hebat.

“Saya menikmati masa berada dalam era bersaing dengan ramai pelumba berbakat yang muda. Dia akan berada di sini untuk tempoh lebih lama selepas saya bersara.

“Tetapi sebelum itu, saya akan cuba untuk tidak memberikannya begitu banyak petak utama dan kemenangan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 12:34 PM