PELUMBA glamor lupakan seketika muzik, fesyen demi pertarungan di litar.
PELUMBA glamor lupakan seketika muzik, fesyen demi pertarungan di litar.
ROSBERG dan Hamilton sudah sedia untuk pertarungan pertama di Australia.
ROSBERG dan Hamilton sudah sedia untuk pertarungan pertama di Australia.

Lewis Hamilton dan Nico Rosberg sudah pun melupakan episod 2014 dan kini bagaimana dengan album kedua? Bukan mengenai lagu yang dirakam di studio rakaman Hamilton di Colorado tetapi 20 perlumbaan yang perlu dihadapi dan disaingi untuk menjulang gelaran kejuaraan dunia sekali lagi.

Biarpun sibuk merakam lagu sejak kebelakangan ini, Hamilton mendedahkan tidak merancang untuk berkongsi dengan peminat.

Berdepan kontrak baru di Mercedes selain menyeimbangkan kehidupan peribadinya selepas berpisah de­ngan Nicole Scherzinger, ia pasti satu gangguan yang perlu dielakkan.

Rakan sepasukannya dan juga pesaing utama di Mercedes, Rosberg akan membuatnya sibuk dalam tempoh sembilan bulan selepas ini, bermula Ahad ini di Melbourne.

Pertama sekali, Hamilton berharap bahawa Rosberg yang dikenali sebagai Britney pada awal kariernya di Formula Satu tidak melanggarnya sekali lagi seperti yang dilakukan pelumba Jerman itu di Belgium musim lalu.

Pelumba Britain itu mampu mempertahankan kewibawaannya dengan menewaskan Rosberg menerusi kemenangan dalam 11 perlumbaan.

Hakikatnya, sukar untuk tidak mengaitkan Hamilton dengan dunia penuh glamour. Dia satu-satunya ‘megastar’ dalam F1, meraih populariti dalam bidang muzik dan fesyen.

“Saya amat meminati fesyen, terutamanya sejak beberapa tahun lalu dan saya amat menyukainya,” kata Hamilton.

“Muzik lebih penting dalam hidup saya daripada apa yang disedari orang ramai. Saya menghabiskan masa lapang de–ngan perkara itu. Ia satu hobi tetapi saya tidak merancang untuk me–ngeluarkan apa-apa lagu.”

Hamilton sedar bahawa menewaskan rakan sepasukannya di Mercedes bakal memberikan satu lagi ‘permusuhan’ yang memerlukan tumpuan penuh.

Penampilannya di pertunjukan fesyen, penyampaian anugerah di Brit Awards, semua itu perlu dilupakan buat masa ini demi memenangi gelaran yang amat disanjunginya buat kali ketiga.

“Buat masa ini, memenangi kejuaraan,”kata pelumba berusia 30 tahun itu.

“Saya perlu memberi tumpuan terhadap perkara itu. Memiliki kereta dan pasukan yang mampu bersaing untuk kejuaraan, bukan masanya untuk saya diganggu perkara lain.

“Saya sedar, saya berada di pertengahan karier dan mungkin sudah melepasinya, ia akan berlalu pantas, mungkin enam, tujuh atau berapa saja tahun selepas ini.”

Biarpun petunjuk dari ujian pra-musim menunjukkan Williams, Red Bull, Ferrari dan yang lain tidak akan memberi masalah besar buat Hamilton, namun tidak bagi Roseberg.

Pelumba Jerman itu memberitahu media di negaranya dia akan menjuarai gelaran dunia.

Hamilton wajar melakukannya dengan lebih baik kali ini selepas menempuhi ujian untuk menjulang kejuaraan dunia, atau tempat itu mungkin dirampas Rosberg.

Rosberg, pelajar kejuruteraan, juga mempelajari teknik pernafasan baru bagi meningkatkan stamina dan membantunya me–ngatasi g-force (daya graviti) di selekoh berkelajuan tinggi.

Isteri Rosberg, Vivian, 29 baru saja melahirkan anak mereka Ogos lalu tetapi sempat untuk bersama sewaktu kelahiran anaknya ketika cuti musim panas F1.

Hamilton dan Rosberg saling berpelukan selepas kemenangan pelumba Britain itu di Abu Dhabi tetapi sebaik kembali ke litar ­sekali lagi, permusuhan akan bermula.

“Kami berada di tempat berbeza kini, tetapi menerusi pengalaman, banyak yang anda pelajari,” kata Hamilton.

“Kami akan menempuhi tahun yang lain di mana kami akan bertarung antara satu sama lain tetapi dari aspek hormat, ia lebih hebat daripada sebelumnya atau setidak-tidaknya kami lebih me–ngenali antara satu sama lain.

“Hanya dalam tempoh satu tahu, banyak yang kami pelajari.”

Adakah itu bermakna Hamilton boleh mempercayai Rosberg atau sesiapa pun dalam F1, berhubung perkara itu pada musim mendatang?

“Bolehkah anda percayakan seseorang dalam hidup?” balasnya.

“Apa pun, hubungan ini nampaknya baik tetapi ini adalah sebelum bermulanya musim dan bila keadaan menjadi semakin hangat anda boleh andaikan ada ketikanya berlaku ketegangan kecil tetapi itu disebabkan saingan sengit di dalam pasukan sama.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:32 AM