SADIO MANE
SADIO MANE
AFP

SADIO Mane mengakui dirinya bertuah dapat bergandingan dengan Mohamed Salah dan Roberto Firmino  selaku jentera penyerang Liverpool dalam misi membenam Real Madrid pada final Liga Juara-Juara.

Penyerang Liverpool itu meledak 19 gol musim ini dan mahukan lebih lagi menjelang pertemuan Reds dengan juara bertahan itu untuk merebut gelaran Eropah di Kiev Sabtu ini.

“Saya fikir lebih banyak gol akan dijaringkan,” kata pemain Senegal itu.

“Sudah tentulah saya gembira tetapi sebagai penyerang anda mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan untuk membantu pasukan anda.”

Mane, 26, adalah pemain termuda dalam trio penyerang hebat itu musim ini.

Salah mendahului dengan 44 gol manakala Firmino menjaringkan 27 gol dalam semua kejohanan.

“Seperti yang selalu saya perkatakan, saya sentiasa seronok dapat bermain dengan pemain hebat,” kata Mane.

“Mereka menjadikan segala-galanya lebih mudah bagi saya. Saya sungguh bertuah.

“Namun kami sentiasa bercakap mengenai tiga penyerang utama. Jangan lupa ia bermula dengan pemain di belakang. Mereka menjadikannya lebih mudah.

“ Kuasa Kelab Bola Sepak Liverpool bersifat kolektif. Kami sentiasa melakukannya bersama-sama, itulah kekuatan kami.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 9:12 PM