ROBERTO Firmino ceria bersama pengendali Liverpool, Jurgen Klopp selepas menandatangani kontrak baru jangka panjang dengan The Reds, hari ini. FOTO Liverpool FC
ROBERTO Firmino ceria bersama pengendali Liverpool, Jurgen Klopp selepas menandatangani kontrak baru jangka panjang dengan The Reds, hari ini. FOTO Liverpool FC
AFP

London: Penyerang Brazil, Roberto Firmino bersetuju dengan kontrak baru jangka panjang bersama Liverpool, demikian menurut jurucakap kelab Liga Perdana Inggeris itu, hari ini.

Bagaimanapun tidak dinyatakan lebih lanjut kandungan kontrak, tetapi media British melaporkan ia adalah kontrak lima tahun, sekali gus menyuntik semangat anak buah Jurgen Klopp menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Roma, pada awal Khamis ini.

Dalam perlawanan pertama Liverpool menang 5-2 dan Firmino menjaringkan dua gol di Anfield.

“Ia adalah keputusan mudah,” kata Firmino dalam laman web kelab.

“Karier saya berkembang di sini dan mendapat sokongan seluruh pasukan. Saya sangat gembira di sini.”

Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Liverpool dari kelab Jerman, Hoffenheim pada musim 2015/16 dan kini menjaringkan 50 gol dalam 140 penampilan bersama juara Eropah lima kali itu.

Musim ini adalah yang terbaik baginya dengan menjaringkan 27 gol daripada 50 penampilan.

Menurut laman web Football Leaks, kontrak Firmino sebelum ini bernilai 98 juta euro (RM468j) yang berkuat kuasa sehingga 2020.

Firmino turut memainkan peranan penting di barisan hadapan Liverpool bersama gandingan Mohamed Salah dan Sadio Mane yang menyaksikan ketiga-tiganya menjaringkan 88 gol musim ini.

“Rakan sepasukan saya sangat fantastik dan saya bangga dapat beraksi bersama kelab ini. Penyokongnya hebat dan memberi sokongan padu kepada kami setiap masa,” kata Firmino.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 11:39 AM