Dari kiri Firmino, Salah dan Mane trio serangan Liverpool. FOTO Agensi
Dari kiri Firmino, Salah dan Mane trio serangan Liverpool. FOTO Agensi
AFP

London: Sadio Mane memberi amaran kepada pencabar Liverpool dan menegaskan skuad Reds mampu meningkat selepas aksi pemanas badan membelasah Watford menjelang saingan Liga Juara-Juara berdepan Atletico Madrid, awal pagi Rabu ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp mencatat kemenangan bergaya 5-0 di Vicarage Road pada Sabtu lalu untuk memastikan mereka berada di landasan tepat mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Ketika Liverpool hanya dibezakan dengan satu mata di belakang pendahulu liga Chelsea, tumpuan mereka kini beralih kepada saingan sengit Kumpulan B Liga Juara-Juara.

Berada di kedudukan teratas kumpulan dengan kemenangan ke atas AC Milan dan Porto, juara enam kali Piala Eropah itu berkunjung ke Madrid untuk berdepan juara Sepanyol.

Cabaran sukar menanti pasukan itu di stadium Wanda Metropolitano dalam misi memburu tiga mata tetapi Liverpool boleh mengharap trio serangan sekali lagi yang kelihatan dibimbangi lawan kelab Eropah.

Sentuhan Mane, Mohamed Salah dan Roberto Firmino sukar dihalang selepas menjulang kejuaraan Liga Perdana buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun pada musim 2019-20.

Namun pada musim lalu pasukan itu terpaksa menyerahkan kejuaraan mahkota liga kepada City ketika kedua-dua pemain Mane dan Firmino beraksi di luar prestasi terbaik mereka.

Mane penyerang Senegal menjadi hanya pemain ketiga dari Afrika menjaringkan gol ke 100 Liga Perdana dengan hantaran menarik dari Salah.

"Jujur, apabila saya datang ke Liga Perdana impian saya adalah menjaringkan gol sebanyak mungkin seterusnya membantu memenangi trofi," kata Mane.

Salah mempamerkan ketajamannya menerusi gol-gol menarik termasuk yang mencuri perhatian ketiga berdepan Manchester City sebelum rehat antarabangsa lalu.

Bintang Mesir meledak gol dalam setiap perlawanan di semua kejohanan buat pertama kali dalam kariernya.

Dengan 10 gol dalam 10 penampilan keseluruhan musim ini sudah pastinya meyakinkan Liverpool untuk mengikat penyerang berusia 29 tahun itu yang masih berunding mengenai permintaan gaji untuk menyambung kontrak baharu di kelab berkenaan.

"Saya fikir jaringan ini lebih baik ketika berdepan City. Tetapi tidak mengejutkan buat kami kerana kami tahu kualitinya, dia salah seorang pemain terbaik dalam dunia. Dia membuktikannya." kata Mane mengenai Salah.

Penyerang Brazil, Firmino, yang beraksi dalam perlawanan pertama bagi kesebelasan utama menerusi lima perlawanan sebelum meledak hatrik pertamanya bersama Liverpool sejak 2018.

Firmino kehilangan tempatnya kepada Diogo Jota beberapa kali sejak musim lalu dan memberi amaran kepada Klopp bahawa dia masih boleh diharapkan sebagai tonggak utama pasukan.

"Bobby juga, dia membuktikannya, salah seorang pemain terbaik sudah pasti di dunia," kata Mane.

"Ia bukan waktu yang mudah buatnya dengan dihimpit kecederaan tetapi dia kembali dan saya gembira buat dirinya.

"Diharap dia akan bersama kami dan menjaringkan lebih banyak gol untuk pasukan sehingga hujung musim."

Ia adalah kemenangan terbesar Liverpool sejak menewaskan Crystal Palace 7-0 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 1:06 PM