MANE (kiri) ketika mengawal bola. FOTO/REUTERS
MANE (kiri) ketika mengawal bola. FOTO/REUTERS
Reuters

SADIO Mane menjaringkan gol ke atas kelab lamanya ketika Liverpool bergelut untuk menewaskan Southampton 2-1 dan mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan awal kempen baharu Liga Perdana Inggeris semalam.

Skuad Juergen Klopp bergelut untuk menguasai perlawanan di St Mary’s tetapi mempamerkan aksi berkualiti pada masa yang tepat dengan Mane memberikan mereka gol pendahuluan sebelum tamat separuh masa pertama, sebelum Roberto Firmino memastikan kemenangan selepas rehat.

Terdahulu, Arsenal perlu berusaha keras berdepan Burnley di Emirates, dengan jaringan ketujuh Pierre-Emerick Aubameyang dalam empat penampilan menentang Burnley memberikan Arsenal kemenangan 2-1.

Bournemouth mencatat kemenangan pertama musim ini ke atas Aston Villa di tempat lawan, ketika dua jaringan awal memberikan kekalahan 1-2 kepada tuan rumah, manakala pendatang baharu Norwich City dan Everton meraih kemenangan di laman sendiri.

Sementara menanti sepak mula Manchester City, Liverpool beroleh peluang untuk menguasai perlawanan tetapi jauh daripada tahap terbaik mereka pada awal perlawanan dengan Southampton terlepas dua peluang mendahului perlawanan.

FIRMINO (tengah) ketika meledakkan gol kedua Liverpool. FOTO/REUTERS
FIRMINO (tengah) ketika meledakkan gol kedua Liverpool. FOTO/REUTERS

Penjaga gol gantian Liverpool Adrian berjaya menghalang percubaan Maya Yoshida sebelum ini dalam penampilan pertamanya di laman sendiri, Che Adams hampir menjaringkan gol tetapi tuan rumah berjaya menebus kesilapan apabila sepakan lencong Mane memastikan jaringan.

Jaringan ke-20 Mane dalam semua kejohanan pada 2019 melegakan Liverpool yang mempamerkan aksi lebih meyakinkan pada separuh masa kedua, dengan Firmino menggandakan jaringan selepas memanfaatkan kesilapan benteng Saints.

Jaringan lewat Danny Ings buat bekas kelabnya, memberikan saguhati buat Southampton ketika Liverpool mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, menyamai pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan itu.

“Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi anda perlu menjangkakan perlawanan yang sukar pada tahap ini,” kata Mane.

“Sebaik kami menjaringkan gol pertama, ia menjadi lebih mudah buat kami. Saya minta maaf ke atas pasukan lama saya dan maaf kerana menjaringkan gol tetapi saya menyarung jersi Liverpool sekarang.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 8:41 AM