ISKANDAR Zulkarnain.
ISKANDAR Zulkarnain.
Fabian Peter

Bangkok: Perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin sudah bersedia untuk turun ke gelanggang bagi menghadapi aksi sulung menentang Russia dalam saingan Kumpulan D kempen Piala Thomas, esok.

Iskandar yang membuat penampilan kedua pada kejohanan berprestij itu adalah perseorangan ketiga terbaik negara, tetapi berpeluang menggalas tugas perseorangan kedua jika jurulatih membuat keputusan untuk merehatkan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Situasi itu akan menyaksikan Lee Zii Jia menggantikan tempat Chong Wei selaku perseorangan pertama, manakala Leong Jun Hao akan turun sebagai perseorangan ketiga.

“Saya sudah bersedia, tapi yang lebih penting adalah semua rakan sepasukan juga sudah bersedia.

“Jurulatih sering menekankan tiada penumpang dalam pasukan ini. Semua orang ada tanggungjawab masing-masing.

“Saya berada pada tahap prestasi terbaik sekarang dan tidak sabar untuk memulakan aksi. Saya juga percaya, penting untuk kami sentiasa berbincang dengan jurulatih mengenai apa yang kami perlu lakukan,” kata Iskandar ketika ditemui di Arena Impact di Muang Thong Thani di sini, semalam.

Selain Russia, Malaysia turut diundi menentang juara bertahan, Denmark dan Algeria.

Selepas berpeluang menguji gelanggang sebenar kejohanan buat kali pertama sejak tiba di Bangkok Khamis lalu, Iskandar memberitahu suasana dalam dewan itu sangat mencabar.

“Kami hanya berpeluang menjalani latihan di gelanggang sebenar hari ini dan saya perlu katakan angin terlalu kuat. Selain itu, lampu juga terlalu terang.

“Namun, saya fikir ia boleh menjadi kelebihan kepada kami kerana masih ada lagi pemain lain termasuk pemain utama yang belum dapat menyesuaikan diri dengan suasana dalam gelanggang. Ia sesuatu yang positif untuk kami,” katanya.

Kempen Piala Thomas dan Uber akan membuka tirai saingan hari ini, tetapi skuad lelaki dan wanita negara hanya akan turun ke gelanggang, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 5:26 AM