DATUK Lee Chong Wei yang akan mengetuai skuad negara dalam kempen Piala Thomas di Bangkok Ahad ini. FOTO Yazit Razali
DATUK Lee Chong Wei yang akan mengetuai skuad negara dalam kempen Piala Thomas di Bangkok Ahad ini. FOTO Yazit Razali
Fabian Peter


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang akan mengetuai skuad negara dalam kempen Piala Thomas di Bangkok Ahad ini, berjanji akan memperagakan aksi terbaik tatkala ia mungkin penampilan terakhirnya pada trofi berprestij itu.

Kejohanan berprestij berpasukan lelaki itu adalah salah satu daripada trofi yang masih belum pernah diraih pemain berusia 36 tahun itu. 

"Inilah masanya, kami harus ke sana (Bangkok) dan berikan yang terbaik. Seperti yang dikatakan presiden (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) tidak ada yang mustahil," katanya ketika ditemui di hari terakhir latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini. 

Jelasnya, skuad kali ini ramai dibarisi pemain muda dan sebagai salah seorang pemain senior selain beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dia bersedia untuk berdepan cabaran yang bakal dihadapi. 

"Ini mungkin penampilan terakhir saya di Piala Thomas dan saya mahu melihat pemain muda mengorak langkah ke depan. 

"Tahun ini banyak acara berpasukan. Kami sudah bermain di Sukan Komanwel (Gold Coast) dan sekarang Piala Thomas. Saya juga melihat ia adalah satu persiapan terbaik bagi kami menjelang Sukan Asia (Ogos depan)," katanya. 

Malaysia yang kali terakhir merangkul kejuaraan di laman sendiri pada 1992 diundi dalam Kumpulan D bersama penyandang juara, Denmark, Russia dan Algeria. 

Sementara itu, Chong Wei mengakui sebagai seorang pemain veteran, dia menyambut baik pengenalan sistem baharu 11 mata, yang bakal diumumkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) minggu ini, selepas badan dunia itu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di Bangkok. 

Perubahan baharu yang bakal berlaku dalam permainan termasuk memberi peluang untuk jurulatih menghentikan permainan (time out) dan peraturan servis dengan tahap ketinggian ditetapkan bagi mempertingkatkan kualiti serta konsisten dalam pengadilan servis.  

"Sebagai pemain senior, ada yang memanggil veteran, saya rasa sistem mata baharu memberi kelebihan buat kami. Bermain dalam tempoh yang panjang menentang pemain muda sedang meningkat naik bukan tugas mudah, jadi saya terima peraturan baharu ini. 

"Mengenai peluang untuk menghentikan permainan, saya tidak ada apa mahu komen, saya adalah pemain senior. Saya tidak boleh bergantung harap kepada jurulatih saja. Jadi, tunggu dan lihat apa yang akan diumumkan oleh BWF," kata Chong Wei. 

Kedua-dua skuad Piala Thomas dan Uber negara, akan bertolak ke Bangkok Khamis ini. 

Skuad berpasukan lelaki akan memulakan kempen menentang Russia Isnin depan, manakala skuad berpasukan wanita pula berdepan halangan sengit menentang Indonesia pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 5:35 PM