VIKTOR AXELSEN
VIKTOR AXELSEN
Fabian Peter

PEMAIN nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark mengakui teruja akan berdepan Datuk Lee Chong Wei sekali lagi menjelang perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Thomas esok.

Kedua-dua pasukan sekarang ini bersaing untuk menamatkan saingan selaku juara kumpulan namun tumpuan terarah kepada pertembungan antara dua pemain berkenaan.

Chong Wei, 36, berharap dapat memberi mata semangat buat pasukan, sementara Axelsen juga dalam misi yang sama untuk mengekalkan rentak kemenangan ke atas jaguh negara itu.

Sejak kali terakhir dia tumpas kepada Chong Wei di Piala Thomas 2016 di Kunshan, China, Axelsen mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Chong Wei seorang pemain yang hebat dan saya sentiasa bersedia untuk berdepan dengannya. Sudah lama saya tidak menentang dia,” kata Axelsen yang baru pulih daripada kecederaan bulan lalu.

“Jadi esok kita akan lihat sendiri bagaimana pertembungan kami. Dalam aksi sebelum ini ketika bertemu dia berada dalam keadaan yang berbeza. Dubai dan Jepun dilangsungkan dalam dewan yang besar tapi angin dalam gelanggang ini (IMPACT Arena) sangat kuat.”

Ditanya sama ada kecederaan bakal mengganggu rentaknya, Axelsen yang merangkul kejuaraan Eropah mengakui dia pasti akan memikirkan perkara berkenaan.

“Sudah tentu apabila lama berehat anda akan memikirkannya, tetapi saya pasti dapat mengatasinya. Saya harap dapat kekal bebas daripada kecederaan untuk tempoh yang lama,” katanya.

Selain Axelsen, Denmark dijangka mempertaruhkan Anders Antonsen selaku perseorangan kedua manakala Hans-Kristian Solberg Vittinghus atau Jan Jorgensen bakal turun selaku perseorangan ketiga.

Malaysia pula dijangka membariskan Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, namun Leong Jun Hao mampu melakar kejutan diturunkan dalam penampilan sulungnya dalam saingan Piala Thomas.

Hari ini, Denmark dan Malaysia tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 5-0 ke atas Russia dan Algeria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 10:17 PM