HAZARD (dua dari kiri) jadi watak utama Conte untuk rangkul Piala FA. FOTO/AFP
HAZARD (dua dari kiri) jadi watak utama Conte untuk rangkul Piala FA. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Terdesak untuk menamatkan musim yang sukar di tahap terbaik, pengurus yang berdepan masalah, Antonio Conte memperlukan Eden Hazard untuk menyelamatkan Chelsea pada saingan final Piala FA menentang Manchester United, awal pagi Ahad ini.

Skuad Conte gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas berkedudukan kelima Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketika Conte dilaporkan semakin hampir meninggalkan kelab itu berikutan perbalahan dengan pengurusan tertinggi kelab berkaitan perpindahan pemain, Chelsea melalui tempoh sukar untuk bangkit.

Kejayaan di Wembley nanti tidak akan memadam masalah dihadapi Chelsea, tetapi menawarkan peluang untuk membuang rasa tidak harmoni antara Conte dan pemainnya sehingga membawa kepada kemerosotan prestasi.

Hanya 12 bulan lalu, Chelsea layak ke final Piala FA sebagai juara baharu Liga Perdana hasil musim pertama yang hebat buat Conte.

Begitupun mereka meninggalkan Wembley dengan tangan kosong selepas tewas 1-2 di tangan Arsenal yang meninggalkan kesan mendalam kepada pasukan.

“Anda pasti tidak mahu kalah final Piala FA dua kali berturut-turut,” kata pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas.

“Tahun lalu kami tidak bermain baik. Kami menyesal dan kami mahu melakukan perkara yang betul kali ini.”

Kini harapan mereka memenangi piala buat pertama kali sejak 2012 bergantung kepada perancang Belgium, Hazard.

Ketika Hazard gagal mencapai prestasi dilakukan musim lalu ketika memenangi Liga Perdana, banyak komen dikeluarkan Conte.

Bukan hanya pemain berusia 27 tahun itu perlu dipersalahkan ketika Alvaro Morata, Willian dan Pedro juga tidak konsisten, namun Hazard adalah penggerak kreatif Chelsea.

Fabregas tanpa ragu yakin Hazard boleh memusnahkan United sambil berkata: “Dia pemain yang hebat. Apabila dia berada di tahap terbaik, dia tidak mampu dihalang.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 9:58 AM