ANTONIO CONTE
ANTONIO CONTE
AFP

LONDON: Pengurus Chelsea, Antonio Conte mengakui ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun buat pasukan bermasalahnya mampu mendominasi di laman sendiri dan di luar negara.

Sekalipun Conte menang Liga Perdana Inggeris dalam musim sulungnya bersama Chelsea, bos Blues itu mendakwa juara bertahan itu masih kekurangan dari segi asas mantap diperlukan untuk bersaing merebut trofi utama setiap tahun.

Menerima tekanan selepas permulaan buruk Chelsea musim ini, Conte menghantar mesej kepada pemilik Blues, Roman Abramovich ketika beliau menegaskan cara Mauricio Pochettino diberi masa untuk membentuk Tottenham menjadi pencabar kejuaraan selama beberapa musim.

Conte, pasukannya berdepan Tottenham di Wembley malam esok, yakin beliau memerlukan tempoh sama sebelum Chelsea mampu mendominasi dalam Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.

“Tottenham memulakan kerja bersama Pochettino tiga tahun lalu. Beliau mempunyai kemungkinan bekerja dengan pemain sama dan cuba meningkatkan situasi itu,” kata Conte.

“Bagi setiap jurulatih adalah penting mempunyai kesinambungan. Apabila anda tiba di sebuah kelab anda tidak tahu apa yang akan ditemui.

“Apabila anda faham asas anda, anda memerlukan tahun demi tahun untuk meningkat.

“Kemudian anda boleh menjadikan asas ini lebih mantap, untuk membina satu struktur bagus, bertarung merebut kejuaraan.”

Conte tidak terkejut dengan kejayaan Chelsea musim lalu kerana beliau percaya mereka bernasib baik apabila pemain tonggak tidak mengalami kecederaan.

“Musim lalu kami mula membina asas ini dan kami memenangi kejuaraan tapi kami bernasib baik dengan kecederaan,” ujar Conte.

“Kini ia tidak mencukupi. Untuk menjadi yang terbaik di dunia, anda memerlukan masa. Ada banyak situasi yang anda tidak boleh kawal.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 10:06 AM