COURTOIS (jersi oren) melepaskan tiga gol pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris.
COURTOIS (jersi oren) melepaskan tiga gol pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris.
AFP

PENGURUS Chelsea, Antonio Conte menyalahkan pemainnya kerana hilang pertimbangan selepas juara Liga Perdana Inggeris itu dikejutkan dengan kekalahan 2-3 di tangan Burnley pada perlawanan pertama musim baru, lewat malam tadi.

Selepas kapten baru Chelsea, Gary Cahill dibuang padang pada minit ke-14 di Stamford Bridge, dua gol Sam Vokes dan gol roket Stephen Ward menyaksikan Burnley mendahului 3-0 sebelum rehat.

Jaringan daripada pemain gantian Alvaro Morata dan David Luiz membolehkan Chelsea kembali bersaing pada perlawanan itu, namun Cesc Fabregas yang dibuang padang kerana kad kuning kedua bermakna anak buah Conte menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.

MORATA (kiri) jaring gol pertama Chelsea.
MORATA (kiri) jaring gol pertama Chelsea.

“Kami cuba hingga ke wisel penamat untuk meraih keputusan baik menentang Burnley. Sayang sekali kerana perjuangan kami pada babak kedua amat bagus,” kata Conte.

“Tapi pada babak pertama, kami hilang pertimbangan. Selepas kad merah itu kami tidak tenteram, melepaskan dua gol dan kemudian amat sukar untuk mengubah keputusan akhirnya.”

Conte gagal menyembunyikan kekecewaannya mengenai kegagalan Chelsea memperkukuhkan skuad mereka dengan hanya Morata, Antonio Rudiger, Tiemoue Bakayoko dan penjaga gol Willy Caballero yang mampu dibeli mereka setakat ini.

Bakayoko tidak bermain kerana kecederaan menentang Burnley di samping pemain bintang Eden Hazard manakala penyerang Diego Costa dibekukan selepas spekulasi mahu berpindah.

Conte tidak mahu menjawab soalan mengenai Costa, namun menjelaskan: “Bagi saya ia sudah berlalu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 7:51 AM