RAFAEL NADAL
RAFAEL NADAL
Reuters

MONTE CARLO: Juara bertahan, Rafael Nadal mengetepikan pilihan kelima dari Austria, Dominic Thiem 6-0, 6-2 untuk melangkah ke separuh akhir Monte Carlo Masters buat kali ke-14.

Thiem yang menewaskan Nadal sebanyak dua kali di gelanggang tanah liat sebelum ini, dilabel sebagai lawan paling sukar untuk pemain sensasi Sepanyol itu pada saingan kali ini, namun Nadal membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri.

Nadal yang juga pemain nombor satu dunia meraih mata terakhir menerusi pukulan forehand sekali gus mengetepikan Thiem.

Pemain berusia 31 tahun itu bakal bertemu pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov untuk mengesahkan tempat ke final. Nadal perlu memenangi kejohanan ini untuk menafikan Roger Federer daripada merampas takhta pemain nombor satu dunia.

“Saya rasa ia perlawanan yang hebat dan saya bermain dengan agresif. Saya tahu saya tidak boleh memberikan ruang kepada Dominic,” kata Nadal.

Dimitrov pula menewaskan David Goffin 6-4 7-6(5) untuk melangkah ke pentas separuh akhir Monte Carlo buat kali pertama.

Turut mara bintang sensasi Jepun, Kei Nishikori yang menewaskan pilihan kedua, Marin Cilic 6-4 6-7(1) 6-3 untuk menempah tiket separuh akhir buat kali pertama sejak Julai 2016.

Nishikori hampir meraih kemenangan apabila mendahului 5-4 pada set kedua, namun Cilic yang muncul naib juara Terbuka Australia, berjaya mengheret perlawanan ke tie break sebelum Nishikori bangkit untuk mencatat kemenangan mutlak.

Bintang Jepun itu akan bertemu wakil Jerman, Alexander Zverev yang berjaya menewaskan pemain Perancis, Gasquet 4-6 6-2 7-5.  

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 10:29 AM