CHONG Wei berjaya menewaskan Sam Daniel dari Ghana bagi kategori badminton berpasukan sempena Sukan Komanwel Gold Coast 2018. -Foto YAZIT RAZALI
CHONG Wei berjaya menewaskan Sam Daniel dari Ghana bagi kategori badminton berpasukan sempena Sukan Komanwel Gold Coast 2018. -Foto YAZIT RAZALI
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

SKUAD badminton negara bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Ghana 5-0 dalam acara berpasukan campuran peringkat kumpulan yang berlangsung di Carrara Sports and Leisure Centre, hari ini.

Gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong memulakan aksi dengan kemenangan 21-8, 21-11 ke atas Abraham Ayittey-Michael Baah diikuti Soniia Cheah yang menewaskan Stella Amasah 21-3, 21-5.

Datuk Lee Chong Wei mudah menewaskan Daniel Sam 21-2, 21-7 diikuti Vivian Hoo-Chow Mei Kuan menewaskan Grace Atipaka-Eyram Migbodzi 21-2, 21-3.

Gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula memuktamadkan kemenangan mudah Malaysia dengan menewaskan Emmanuel Donkor-Gifty Mensah 21-7, 21-6.

Liu Ying mengakui aksi berkenaan lebih kepada ‘pemanas badan’ untuk mengharungi saingan berikutnya di Sukan Komanwel.

“Ghana bukan pasukan yang kuat dan untuk perlawanan pertama ini kami cuba untuk menyesuaikaan diri dengan keadaan gelanggang,” katanya.

“Kami berharap dapat menampilkan aksi lebih baik untuk perlawanan seterusnya.”

Bagi Peng Soon, siapa pun yang akan diturunkan untuk perlawanan selepas ini pastinya akan memberikan yang terbaik.

Selain gandingan Peng Soon-Liu Ying, Malaysia turut mempertaruhkan Goh Soon Huat-Shevon Lai sebagai beregu campuran.

“Tidak kira siapa yang diturunkan untuk perlawanan seterusnya, kami akan sentiasa memberikan yang terbaik dan saling menyokong satu sama lain, selain mengikut perancangan ditetapkan jurulatih,” katanya.

Malaysia dijadualkan menentang Seychelles sebelum berdepan Kanada esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 6:38 PM