PENG Soon (kiri) dan Liu Ying mudah mara suku akhir Thailand Masters. -Foto fail
PENG Soon (kiri) dan Liu Ying mudah mara suku akhir Thailand Masters. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying semakin menunjukkan taring sebenar mereka apabila melepasi halangan pusingan kedua untuk mara ke suku akhir Thailand Masters, hari ini.

Pasangan pilihan kelima itu yang digandingkan semula selepas enam bulan terpisah kerana Liu Ying menjalani pembedahan bahu membuktikan mereka tidak kekok apabila menumpaskan pasangan Yantoni Edy Saputra-Marsheilla Gischa Islami dari Indonesia 21-14, 21-19.

Menurut Liu Ying, aksi mereka hari ini lebih baik dari semalam dan berharap mampu meneruskan momentum itu esok.

Peng Soon-Liu Ying bakal berdepan pilihan ketiga, Swan Serasinghe-Setyana Mapasa selepas gandingan Australia itu menumpaskan satu lagi pasangan Indonesia, Ronald Ronald-Mychelle Crhystine Bandaso 21-19, 21-18.

Mengikut jejak langkah mereka ialah Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang menumpaskan pasangan Perancis, Bastian Kersaudy-Lea Palermo 21-7, 21-11.

Tang Jie-Yen Wei yang turut digandingkan buat kali pertama tahun ini akan menentang Akbar Bintang Cahyono-Winny Oktavina Kandow dari Indonesia.

Sementara itu, beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang diletakkan selaku pilihan ketiga terpaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan Yulfira Barkah-Nitya Krishinda Maheswari dari Indonesia 21-18, 15-21, 21-7.

Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah juga berjaya meneruskan rentak cemerlang apabila mengalahkan wakil tuan rumah Thamolwan Poopradubsil 21-14, 21-10.

Soniia yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan menentang Natsumi Shimoda dari Jepun untuk memburu slot ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 10:23 PM