PEMAIN perseorangan wanita negara, M Thinaah mempunyai misi serampang dua mata di Kejohanan Kebangsaan. - Foto HASRIYASYAH SABUDIN
PEMAIN perseorangan wanita negara, M Thinaah mempunyai misi serampang dua mata di Kejohanan Kebangsaan. - Foto HASRIYASYAH SABUDIN
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan wanita negara, M Thinaah mempunyai misi serampang dua mata di Kejohanan Kebangsaan kerana dia bukan saja mahu mempertahankan kejuaraan tetapi turut berhasrat membuktikan kemampuannya sehingga mampu diserap masuk ke dalam skuad Piala Uber.

Menurut pemain kelahiran Selangor itu, selepas muncul juara tahun lalu, misinya di Stadium Bukit Kiara kali ini adalah mengulangi pencapaian sama walaupun sedar bakal berdepan halangan sukar dari rakan senegara.

"Saya akan bermati-matian di kejohanan ini, walaupun hari ini di pusingan pertama saya bermula agak perlahan," katanya yang menumpaskan Chew Jia Wern 21-9, 21-8.

Jelasnya, berdasarkan undian, dia mengakui ia bukan tugas mudah untuk mempertahankan kejuaraan terutama selepas berada pada laluan yang sama dengan Soniia Cheah, Lee Zii Yii dan Lee Ying Ying.

"Jika mara sehingga suku akhir mungkin saya akan berdepan Ying Ying tapi saya berjanji akan memberikan yang terbaik," katanya.

Thinaah yang muncul juara di Terbuka Iran awal bulan ini bukan saja mahu mencatat kejayaan di Kejohanan Kebangsaan malah di aksi antarabangsa lain termasuk Terbuka Vietnam.

"Bukan saja kejohanan ini yang mampu untuk menaikkan keyakinan saya, malah di kejohanan lain juga saya perlu beraksi cemerlang seterusnya membuktikan saya juga berhak disenaraikan dalam skuad Piala Uber, Mei depan.

"Jika tidak layak untuk beraksi di Piala Uber sekali pun, saya tidak akan berasa kecewa kerana rakan sepasukan saya juga semuanya mempunyai kelebihan tersendiri.

Menanti Thinaah di pusingan kedua esok ialah pemain remaja yang sedang meningkat dan juga juara Bawah 18 Tahun Kebangsaan tahun lalu, K Letshanaa.

Turut mara ke pusingan kedua hari ini ialah pilihan utama, Soniia Cheah yang menumpaskan R Shalini 21-5, 21-9, manakala juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei pula mudah mengalahkan Samin Arena Satu 21-13, 21-8.

Pilihan ketiga, Ying Ying menewaskan R Kasturi 21-12, 21-15 dan seorang lagi pemain kebangsaan, S Kisona mengalahkan Erica Hoh 21-6, 21-9.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 12:32 AM