Ferzalfie Fauzi


SELEPAS mengakhiri musim 2017 dengan kurang memberangsangkan naib juara remaja dunia, Lee Ying Ying (gambar) tekad untuk bangkit semula tahun depan termasuk merebut tempat dalam skuad kelayakan Piala Uber pada 6 hingga 11 Februari depan.

Ying Ying mengakui bahawa dia bermula dengan baik tahun ini termasuk layak ke suku akhir Masters Malaysia dan muncul naib juara Terbuka Poland namun masalah kecederaan meranapkan impian untuk melakar pengakhiran membanggakan.

“Saya mengalami kecederaan sejak dua bulan lalu dan sebelum itu saya bermain dengan agak buruk di Terbuka Vietnam selepas tumpas kepada pemain Taiwan, Tang Wan Yi 7-21, 15-21 di pusingan pertama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Ying Ying yang mengakhiri musim ini sebagai pemain ketiga pemain terbaik negara di belakang Soniia Cheah dan Goh Jin Wei mahu menggunakan kesempatan berehat selama dua bulan untuk fokus terhadap usaha memperbaiki kelemahannya.

“Saya mahu bangkit semula dengan lebih baik tahun depan. Bagi saya ia perkara biasa jika seseorang pemain itu berdepan dengan musim suram kerana ia akan membuatkan kita bangkit semula dengan lebih kuat pada musim akan datang.

“Mengenai kedudukan dalam skuad kelayakan Piala Uber memang saya mahu bersaing untuk merebut tempat tapi saya tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu. Apa yang saya mahukan ialah bermain dengan baik dalam setiap kejohanan dan lihat bagaimana peningkatan prestasi saya,” kata pemain kelahiran Ipoh, Perak itu.

Ying Ying yang mengalami kecederaan buku lali kaki kiri mengakui bahawa secara keseluruhan dia kurang berpuas hati dengan persembahannya termasuk gagal mencapai sasaran ranking yang ditetapkan.

“Saya tidak berpuas hati kerana tidak mencapai sasaran ranking untuk berada dalam kalangan 40 pemain terbaik dunia,” katanya yang sekarang ini menduduki ranking ke-62 dunia.

Soniia kekal sebagai pemain perseorangan wanita terbaik negara selepas saingan 2017 berakhir apabila menduduki ranking ke-29 dunia, diikuti Jin Wei ditangga ke-50.

Pemain lain yang mampu untuk merebut tempat disenaraikan dalam skuad kelayakan Piala Uber ialah Ho Yen Mei (69), Lim Yin Fun (87), S Kisona (97) dan M Thinaah (133).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 3:26 PM