myMetro

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren (gambar) tidak berdepan masalah melepasi pusingan pertama Terbuka New Zealand semalam apabila mengalahkan pemain Taiwan Wei Chi Liu di Pusat Kejohanan North Shore, Auckland.

Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu tidak berdepan masalah mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-13 untuk ke pusingan kedua, bertemu pilihan pertama dari Korea Selatan Son Wan Ho hari ini.

Wan Ho pula langsung tidak dicabar wakil tuan rumah Xiao Yang apabila mencatat kemenangan mudah 21-5, 21-3.

Daren yang mewakili Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) berkata, walaupun mencatat kemenangan, permainannya biasa saja dan yakin mampu memberikan aksi lebih baik untuk mengalahkan Chi Liu.

“Perlawanan ini juga kejohanan pertama saya selepas meninggalkan BAM. Esok (hari ini) saya menjangkakan mendapat tentangan sengit dan sukar berdepan Wan Ho. Bagaimanapun, saya berharap dapat mencuri satu set darinya,” kata Daren ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Turut mara, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Goh Soon Huat yang mengalahkan wakil tuan rumah, Andrew Rouse 21-4, 21-8.

Soon Huat yang diletakkan pilihan ke-10 akan bertemu Yu Jen Chi dari Taiwan yang sebelum itu menjinakkan seorang lagi pemain tuan rumah, Daxxon Vong 21-9, 21-9.

Pemain lain yang beraksi dalam kejohanan ini ialah Soo Teck Zhi yang mendapat bye pusingan pertama semalam dan pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Kedua-duanya akan memulakan aksi hari ini apabila Teck Zhi berdepan Pit Seng Low (New Zealand) dan Peng Soon-Liu Ying menentang Ko Chi Chang-Hsin Tien Chang (Taiwan) di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 7:44 AM