RAMADHAN (kanan) bersalaman dengan Yusdi selepas majlis menandatangani kontrak bersama Kedah FA bagi baki saingan musim 2018 di Alor Setar pada 29 Mei 2018. FOTO/IHSAN KFA
RAMADHAN (kanan) bersalaman dengan Yusdi selepas majlis menandatangani kontrak bersama Kedah FA bagi baki saingan musim 2018 di Alor Setar pada 29 Mei 2018. FOTO/IHSAN KFA
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) mengikat penjaga gol muda dari Kelantan FA, Mohamad Ramadhan Abd Hamid bagi mengisi kekosongan slot penjaga gol ketiga bagi baki saingan musim 2018.

Penyertaan Ramadhan ke skuad Lang Merah diumumkan melalui laman facebook rasmi milik KFA.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Yusdi Madeonus Mohamad Yunus berharap kehadiran Ramadhan mengukuhkan Kedah yang sedang bersaing dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Super.

"Kerisauan pengurusan pasukan berhubung masalah kecederaan penjaga gol Abdul Hadi Abdul Hamid kini terurai dengan kehadiran Ramadhan.

"Dia akan memakai jersi bernombor 60 bagi baki musim 2018 ini dan dengan perpindahan ini melengkapkan lagi barisan pemain untuk Kedah FA dalam tempoh jendela perpindahan pemain kedua Liga Malaysia yang bermula 7 Mei lalu dan akan berakhir pada 3 Jun ini," katanya.

Ramadhan, 24, yang pernah menyarung jersi Harimau Muda B dan seangkatan dengan pemain Kedah seperti Hanif Dzahir, Syawal Nordin dan Akram Mahinan pernah mewakili pasukan kebangsaan Bawah 22 tahun dari 2013 hingga 2015.

Selain Ramadhan, Kedah sudah menyenaraikan tiga penjaga gol iaitu Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, Abdul Hadi Abdul Hamid dan Mohd Asri Muhammad, bagi saingan musim 2018 ini.

Pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebelum ini bersetuju melepaskan Ramadhan kepada Kedah pada pertengahan bulan ini.

Pada 23 Mei lalu, Kedah FA turut mengikat penyerang sensasi kelahiran Brazil Paulo Rangel yang pernah beraksi dalam kancah saingan Liga Malaysia sekitar 2013 hingga 2016 sebelum berhijrah ke Liga Thailand sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 3:02 PM