KFA akan mengadakan mesyuarat esok. FOTO Izzali Ismail
KFA akan mengadakan mesyuarat esok. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) perlu mencari formula segera merungkai segala permasalahan termasuk isu kewangan yang dihadapi persatuan berkenaan melalui satu mesyuarat eksekutif yang bakal akan diadakan esok.

Menerusi maklumat yang diperolehi, KFA bakal membincangkan pelbagai isu membabitkan kewangan, gaji tertunggak, kontrak pemain, pemisahan FA ke FC serta peluang baharu penajaan dalam usaha mencari jalan penyelesaian untuk keluar daripada masalah yang dihadapi ketika ini.

Difahamkan ia adalah mesyuarat pertama yang akan dihadiri Presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bersama semua eksekutif KFA sejak menduduki kerusi nombor satu itu 12 Julai lalu.

Sumber memaklumkan pihak KFA dijangka akan membincangkan segala isu 'panas' itu dari 'A hingga Z' bagi mendapat maklumat lebih terperinci supaya dapat mencari jalan meneruskan perancangan yang hendak dilalukan selepas ini.

"Mesyuarat akan berlangsung pada jam 8.30 malam esok dan dari situ pihak pengurusan akan melihat segala permasalahan dengan lebih terperinci bagi mencari kaedah tepat membuat banyak keputusan dalam perancangan yang mahu dilaksanakan seterusnya.

"Kita harap presiden dapat buat keputusan yang terbaik pada mesyuarat 3 Ogos. Banyak yang akan dibincangkan dan saya berharap segala perancangan yang akan dilakukan KFA nanti akan berjalan lancar selepas perbincangan dilakukan, insya-Allah," kata sumber.

Sementara itu, menyentuh mengenai berita tiga pemain yang diwakili peguam yang memulakan langkah menuntut tunggakan gaji selama lima bulan kepada KFA seperti dilaporkan Arena Metro, beliau berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai berita berkenaan.

"Perkara itu membabitkan hak pemain masing-masing dan tak apalah...memang hak depa (mereka)," katanya.

Arena Metro semalam melaporkan tiga pemain yang juga tonggak import sudah menghantar surat tuntutan gaji kepada pengurusan pasukan dan berdasarkan peraturan, KFA diberi 15 hari untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Turut dinyatakan, sekiranya pemain tidak menerima pembayaran penuh atau penyelesaian secara bersama sehingga 12 Ogos ini, pemain boleh membatalkan kontrak secara sebelah pihak dan tidak perlu turun berlatih dan sertai perlawanan.

Menurut pihak yang mewakili pemain berkenaan, KFA juga perlu membayar baki gaji sehingga habis musim seperti mana yang terkandung dalam kontrak walaupun tidak lagi bersama pasukan kerana pemain menamatkannya secara sebelah pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 7:48 PM