MARTINEZ sertai Athletic Bilbao. FOTO/AFP
MARTINEZ sertai Athletic Bilbao. FOTO/AFP
Reuters

BARCELONA: Real Sociedad nekad mahu memadam nama pertahanan Inigo Martinez daripada sejarah kelab itu susulan tindakannya menyertai pasukan musuh ketat mereka Athletic Bilbao, apabila menawarkan pertukaran percuma kepada peminat yang membeli jersi yang memaparkan namanya di belakang untuk meredakan kemarahan mereka.

Martinez, 26, pernah mengakui kesetiaannya kepada kelab San Sebastian yang berjaya memperbaiki prestasi mereka dengan berkata dia ‘tidak akan menyertai kelab lawan’.

Namun kata-katanya terbukti palsu apabila pemain itu melengkapkan perpindahan ke Athletic dengan rekod perpindahan 32 juta euro (RM155.5 juta) pada Rabu.

“Mulai tengahari esok, Real Sociedad akan menawarkan peminat yang enggan memakai nama Inigo Martinez pada jersi mereka peluang untuk menukar jersi musim ini dengan nama yang mereka mahukan secara percuma,” menurut mesej di laman kelab itu yang bertajuk, “Kini dia tinggal sejarah”.

Perpindahan berani itu berjaya dilaksanakan selepas Athletic menjual Aymeric Laporte kepada Manchester City dengan bayaran 65 juta euro (RM315.8 juta) sekali gus membolehkan mereka membayar klausa pelepasan pemain Sepanyol itu.

Sociedad sekurang-kurangnya mempunyai wang tunai untuk kos penukaran jersi kepada penyokong yang menyaksikan peningkatan Martinez sepanjang tujuh tahun di kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 3:37 PM