BRAHIM DIAZ
BRAHIM DIAZ
AFP

MADRID: Juara Eropah, Real Madrid hari ini mengesahkan kelab itu sudah menandatangani kontrak pemain muda dari Manchester City, Brahim Diaz. 

Diaz, pemain sayap berumur 19 tahun, bersetuju menandatangani kontrak enam tahun setengah bersama Real dan akan menjalan pemeriksaan perubatan esok, sebelum diumumkan secara rasmi di Santiago Bernabeu.

“Real Madrid dan Manchester City bersetuju dengan perpindahan pemain, Brahim Diaz, yang dikaitkan dengan kelab ini bagi baki musim ini, dan enam musim lagi sehinggalah 30 Jun 2025,” kata kenyataan Real Madrid.

Perjanjian kontrak Diaz di Manchester City sepatutnya tamat pada Jun ini. Madrid dilaporkan bersetuju membayar 17 juta euro (RM79.90 juta) sebagai pendahuluan, dengan baki 7 juta euro (RM32.90 juta) lagi bergantung kepada persembahannya.

Pemain itu berpindah ke Liga Perdana dari pasukan Malaga pada tahun 2013, tetapi bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama City. 

Dia akan menyertai sekumpulan pemain muda Sepanyol di Madrid, termasuklah Marco Asensio, Dani Ceballos, Marcos Llorente, Alvaro Odriozola dan Sergio Reguilon.

Ketika ini, Real bergelut dalam saingan domestik dan menduduki tempat kelima La Liga selepas mereka ditundukkan Real Sociedad 0-2, awal pagi ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 10:07 AM