DUA petinju yang dipilih bertanding di Sukan Komanwel Gold Coast akan menjalani latihan di Uzbekistan atau Kazakhstan. Foto fail
DUA petinju yang dipilih bertanding di Sukan Komanwel Gold Coast akan menjalani latihan di Uzbekistan atau Kazakhstan. Foto fail
Jumiati Rosly


DUA petinju yang dipilih bertanding di Sukan Komanwel Gold Coast akan menjalani latihan di Uzbekistan atau Kazakhstan dalam misi mengakhiri kemarau 16 tahun pingat pada temasya kedua terbesar dunia itu.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Mohd Shamsul Deran berkata, kedua-dua petinju itu dijangka bertolak ke salah satu negara terbabit pada awal bulan depan untuk menjalani latihan lebih kurang sebulan.

“Sekarang kita sedang menjalani latihan seperti biasa dan akan pergi ke Uzbekistan atau Kazakhstan pada awal Februari ini.

“Kalau ikutkan mereka akan pergi ke sana sebulan tetapi ia bergantung kepada peruntukan yang kita dapat nanti,” katanya.

Kali terakhir petinju negara memenangi pingat menerusi Zamzai Azizi Mohamad yang meraih gangsa di Manchester pada 2002 sementara kejayaan terbaik dilakar Sapok Biki apabila memenangi emas kategori lightfly 48 kilogram (kg) pada temasya 1998 di Kuala Lumpur.

Menurut Shamsul, pihaknya masih belum memutuskan dua petinju yang akan bertanding serta kategori yang mereka akan sertai.

“Itu strategi kami namun memang dua nama yang dikemukakan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan nama itu mungkin kekal dan tiada perubahan sehinggalah senarai terakhir kontinjen negara diputuskan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan prestasi di Sukan SEA Ogos lalu antara kriteria utama pemilihan.

Berdasarkan kriteria itu, Muhamad Fuad Mohd Redzuan hampir pasti disenaraikan selepas merekod sejarah di temasya dwitahunan itu apabila merangkul emas kategori lightfly 49kg yang juga kali pertama dimenangi negara dalam kategori itu.

Selain itu, skuad tinju turut memenangi satu perak dan gangsa menerusi Muhamad Fuad Mohd Redzuan dalam kategori lightheavy 81kg dan R Indran (middleweight 75kg).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 9:21 PM