KUALA LUMPUR 16 JULAI 2019. Peninju Negara, Muhammad Fuad  Mohd Redzuan menjalani sesi latihan bagi sesi bertanding pada temasya Sukan Sea Filipina 2019 di MSN Keramat. NSTP/HAFIZ SOHAIMI
KUALA LUMPUR 16 JULAI 2019. Peninju Negara, Muhammad Fuad Mohd Redzuan menjalani sesi latihan bagi sesi bertanding pada temasya Sukan Sea Filipina 2019 di MSN Keramat. NSTP/HAFIZ SOHAIMI
Mohd Amin Jalil


PETINJU negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan, membuat keputusan drastik apabila bakal beralih arah kepada kategori baharu, 52 kilogram (kg) selepas hampir sepuluh tahun dia beraksi bagi 49kg.

Fuad menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi mengurangkan tekanan pada dirinya susulan pencapaiannya yang kurang memuaskan selepas sekadar meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2019, di Filipina.

“Saya ambil keputusan mulai tahun ini untuk bertukar ke kategori baharu 52kg yang dilihat tidak memberi banyak tekanan berbanding kategori 49kg, apabila saya perlu menjaga berat badan untuk sesuaikan kategori itu.

“Prestasi dan pencapaian yang kurang memberangsangkan pada Sukan SEA tahun lalu apabila sekadar memenangi pingat gangsa sekali gus gagal mempertahankan pingat emas kategori 49kg, juga menjadi antara faktor keputusan itu dibuat.

“Saya yakin dan percaya dalam kategori baharu ini akan memberi peluang untuk saya kembali mencipta kejayaan, tambahan pula jurulatih, Azmi Md Yunus turut memberikan sokongan.

“Oleh itu, saya perlu segera menyesesuaikan diri dan mendapatkan rentak terbaik dalam kategori baharu ini, agar mampu meraih pencapaian cemerlang pada sebarang kejohanan akan datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Petinju berasal dari Negeri Sembilan berusia 29 tahun itu berkata, pihaknya akan menggunakan tempoh setahun ini untuk membuat persiapan sebelum menyertai kejohanan besar tahun hadapan.

“Berdasarkan kalendar kejohanan tahun ini, tiada kejohanan besar terutama di luar negara akan disertai kecuali peringkat domestik, malah beberapa kejohanan yang dirangka juga tertangguh atau dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

“Oleh itu, tempoh yang ada ini, akan saya gunakan untuk membuat persiapan latihan bagi kategori 52 kg dan akan menyertai kejohanan peringkat domestik apabila wabak pandemik Covid-19, berakhir kelak,” katanya.

Menurut Fuad lagi, dia perlu membuat persiapan rapi dalam kategori baharu itu sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA akan datang di Vietnam, yang mungkin juga temasya terakhir di rantau ini, yang akan disertainya.

“Sasaran saya untuk kembali mempertahankan reputasi terbaik di Sukan SEA dan berharap kategori 52kg ini mampu mengulangi kejayaan cemerlang meraih emas pada temasya di gelanggang sendiri pada 2017,” katanya.

Pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Fuad mencatat sejarah apabila merangkul pingat emas kategori lightfly 49kg selepas menewaskan petinju Thailand, Thani Narinram, 5-0, namun dia gagal mengulangi pencapaian itu di Filipina tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 7:13 PM